Lebar DHPP ke peringkat kawasan

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) berharap sayap parti itu turut ditubuh di peringkat kawasan dan bukan hanya peringkat negeri sahaja.

Ketua Pemudanya, B.Balendran a/l Bala Subramaniam berkata, sudah sampai masanya DHPP dilebarkan sehingga ke peringkat kawasan.

- Advertisement -

Katanya, peranan untuk menyantuni masyarakat bukan Islam di Malaysia sebagai mewakili PAS bukan perkara yang mudah.

“Walau bagaimanapun kami tetap berusaha memahami Islam melalui kelas pendidikan Islam seperti ILHAM, kuliah dan usrah yang dijalankan,” ujarnya ketika membahas Ucapan Dasar Presiden pada muktamar di PUTIK hari ini.

Malah kata beliau juga perpaduan antara kaum di negara itu menjadi sebahagian agenda DHPP.

Beliau juga berkata, pelantikan Pengerusi DHPP Pusat Senator N Balasubramaniam sebagai Ahli Dewan Negara merupakan satu pengiktirafan yang sangat tinggi kepada DHPP sejak diwujudkan pada 2010.

Beliau turut mengingatkan ahli PAS juga perlu ke hadapan untuk menunjukkan sikap kasih sayang terhadap mereka yang bukan muslim.

“Elakkan mengkritik agama lain secara terbuka kerana ia boleh membawa kepada ketegangan kaum.

“Lajnah Dakwah dan Lajnah Perpaduan Nasional perlu ke hadapan dalam memberikan perhatian terhadap perkara itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -