Jadikan tarbiyah PAS DNA kepada DHPP

- Advertisement -

KOTA BHARU: “Saya menyeru kepada semua ahli DHPP (Dewan Himpunan Pendukung PAS) mesti menjadikan tarbiyah (PAS) sebagai DNA kepada ahli DHPP,” demikian kata Ketua DHPP Pusat, Senator Bala Subramaniam a/l Nachiappan.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di PUTIK, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, tarbiyah sangat penting kepada semua ahli PAS kerana ‘tanpa tarbiyah kita (ahli PAS) pasti akan rebah’.

Dalam pada itu, Bala berkata keputusan PAS tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diterima dengan akur oleh DHPP.

Bagaimanapun, katanya PAS mesti berada selari dengan parti lain dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Namun, PAS mestilah benar-benar selari dan seiring dengan rakan parti yang lain (dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional) pada PRU-15 yang akan datang agar kita (PAS) ‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ (dengan parti lain),” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan beliau turut menyentuh isu perpaduan kaum dalam negara yang sangat meruncing ketika negara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Lantaran itu, beliau menyeru supaya rakyat kembali memahami kontrak sosial dan menghayati rukun negara bagi memperkukuhkan kembali hubungan antara kaum di negara ini. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -