Elak pertembungan! – Presiden PAS

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dahulukan perdamaian, utamakan keadilan, seru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sambil menegaskan bahawa Islam menolak pertembungan yang mencetuskan ketegangan hubungan termasuk hubungan antarabangsa, kaum dan negara.

Menurutnya, kekacauan yang berlaku di negara Islam merupakan mangsa kezaliman pihak lain melalui perang proksi.

- Advertisement -

Jelasnya krisis yang berlaku di Palestin, Kashmir, Uighur, Rohingya serta beberapa negara lain merupakan bukti nyata bahawa umat Islam terus menjadi mangsa kezaliman.

Malangnya, kata Tuan Guru Abdul Hadi, umat Islam tidak mempunyai negara yang kuat demi menyahut seruan Allah SWT dalam surah An-Nisa’ untuk berperang di jalan Allah bagi menyelamatkan mereka yang tertindas.

Mengulas lanjut, katanya yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, apa jua cabaran yang dihadapi, umat Islam wajib memanfaatkan kerjasama dalam kalangan negara seaqidah, serumpun dan bersahabat, di samping terus berpegang dengan konsep perdamaian yang hendaklah diutamakan, walaupun terhadap musuh yang paling agresif.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, di Muktamar PAS kali ke-66, di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.

Tuan Guru Abdul Hadi diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Duta Khas ke Timur Tengah atas beberapa faktor termasuk pengalamannya yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -