Dominasi kerusi di Kelantan, Terengganu, Kedah

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jentera PAS di Sabah akan digerakkan bagi membantu kempen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan bersama bersama parti-parti lain dalam PN.

- Advertisement -

Malah katanya pimpinan PAS pusat juga akan datang menggerakkan jentera pilihan raya di negeri tersebut.

“PAS menyatakan kesediaanya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri Sabah walaupun parti tersebut tidak meletakkan calon bagi mengelakkan pertembungan.

“Perlu difahami penyertaan dalam kerajaan bukan semestinya menjadi wakil rakyat, kita juga boleh terlibat dalam jentera kerajaan Perikatan Nasional,” katanya pada sidang media selepas persidangan muktamar berhenti rehat hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, PAS bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang hanya melibatkan peringkat Parlimen.

Kata beliau kerajaan Perikatan Nasional tidak gentar membubarkan Dewan Rakyat selepas banyak kejayaan ditempa walaupun dalam tempoh pemerintahan singkat.

“Dalam tempoh yang pendek ini banyak kejayaan. Kita menerima perubahan secara demokrasi. Kita bersedia hadapi pilihan raya.

“Arahan sudah diberikan kepada jentera parti seluruh negara untuk siap sedia hadapi PRU yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan pembahagian kerusi beliau berkata, kerusi PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah akan didominasi parti itu.

Ujar beliau lagi, perkara itu masih dalam perbincangan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional, malah tarikh sebenar PRU pun belum diumumkan.

“Kita tunggu pengumuman sebenar oleh perdana menteri mengenai tarikh PRU, pembahagian kerusi juga sedang dibincangkan, sudah banyak capai keputusan.

“Memang sudah ada ini (kerusi) milik PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah kita mendominasi kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -