KOTA BHARU: Seramai 1,046 perwakilan mengikuti muktamar hari ini termasuk yang berada di 15 stesen di Pejabat Perhubungan PAS di negeri-negeri secara online.
Perwakilan yang berada di Dewan Besar PUTIK pula seramai 229 orang, manakala 696 orang mengikuti muktamar secara atas talian.
Jumlah yang berada di PUTIK termasuk saf pimpinan seramai 61 orang, perwakilan mewakili Dewan-Dewan pula seramai 60 dan mewakili kawasan seramai 95 orang.
Pengerusi Tetap Hussin Ismail berkata, beberapa perwakilan akan membahas usul terima kasih dan ucapan dasar presiden secara atas talian termasuk dari Sarawak dan Kedah.
Katanya, setiap perwakilan diberi masa membahas ucapan 5 minit bagi membolehkan muktamar ditamatkan pada jam 6 petang ini.
“Saya berharap perwakilan dapat mematuhi peraturan tersebut. Sekiranya ada perwakilan berucap lebih daripada masa yang ditetapkan itu saya akan membunyikan loceng sebagai isyarat peringatan.
“Kalau tidak patuh saya akan mematikan suara pada alat pembesar suara,” katanya ketika memulakan mesyuarat pada muktamar hari ini.
Pada peringkat awal mesyuarat perwakilan membincangkan laporan muktamar 2019-2020 dan laporan kewangan. – HARAKAHDAILY 13/9/2020