Sentuhan Pemuda PAS dalam dinamika politik

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin menggariskan beberapa kerangka dasar perlu dilaksanakan Pemuda PAS dalam menghadapi kedinamikan politik tanah air.

Menurutnya, Pemuda PAS perlu menjadi Agen Perpaduan Ummah demi mewujudkan kestabilan politik tanah air dengan berperanan sebagai penyatu kepada sayap pemuda parti-parti yang mendukung kerajaan.

Katanya, melihat kepada kajian-kajian terkini dan referendum rakyat melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil yang dilalui sebagai front Muafakat Nasional, sentimen rakyat sangat positif kepada Kerajaan Perikatan Nasional.

Serunya, Pemuda PAS perlu berjiwa besar, tenang, sabar dan redha, wala’ dan thiqah, mengamal Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), serta menyelesaikan perselisihan pendapat secara tertutup melalui meja rundingan.

“Perpaduan ummah yang utuh akan membina keyakinan dan kepercayaan daripada kalangan rakyat yang majmuk. Kita perlu fokus kepada agenda menyelamatkan Malaysia dan ummah!” ujarnya pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-61 di Pengkalan Chepa, di sini sebentar tadi.

Pemuda PAS juga peringatnya, mesti menjadi Rijalud-Daulah dengan berteraskan kepada asas Ubudiyyah (Integriti atau bekerja sebagai ibadah), Masu’liyyah (akauntabiliti) dan Itqan (Perkhidmatan dan pengurusan yang cemerlang).

Juga bertindak menjadi kerajaan yang efektif sama ada di peringkat Kerajaan Pusat, Negeri, Kerajaan Tempatan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan ruang-ruang lain dengan mengadakan hubungan baik terhadap kakitangan kerajaan.

Serta berhati-hati dalam menguruskan perbendaharaan negara dengan mengenali risiko-risiko yang boleh berlakunya pecah amanah, rasuah dan salah laku, serta prihatin terhadap denyut nadi rakyat.

“Inilah masanya kita membuktikan kompetensi Pemuda PAS kepada rakyat. Walk the talk! Pemuda PAS perlu membawa agenda Islam sebagai keutamaan dalam memimpin negara.

“Saya pasti ia bukan perkara semudah yang disangka kerana kedudukan PAS yang tidak mempunyai majoriti dalam kerajaan, namun ia tidak mustahil jika kita mengambil pendekatan konstruktif dan kolaboratif dengan pemegang taruh (stakeholders) yang terbabit.

“Fahami situasi, kenal pasti jurang, susun keutamaan serta berstrategi dalam membawa cadangan dan idea. Agenda memartabatkan Islam perlu dijadikan agenda teras di semua peringkat,” ujarnya.

Antara fokus yang perlu diketengahkan garisnya, iaitu mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam; mendedahkan kepada masyarakat bukan-Islam akan keindahan Islam; membawa usul dan cadangan kepada kerajaan untuk menambah baik urus tadbir kerajaan.

Juga menyuarakan isu-isu perlu ditangani kerajaan khususnya yang melibatkan Islam secara berhikmah walaupun kemungkinan menyebabkan rakan muafakat tidak selesa, serta Pemuda PAS mesti menjadi Pemuda Ansorullah.

“Tarbiyah adalah DNA Pemuda PAS. Ia bersifat usuli pada prinsip tetapi muassir dari sudut pendekatan.

“Oleh yang demikian, selain dari penambahbaikan muqarrar yang sedia ada, penyampaian content tarbiyah juga perlu bijaksana dan dinamik dalam mengambil contoh-contoh semasa tanpa mengabaikan asolah (keaslian) asas dan fikrah Islami,” ujarnya.

Pemuda PAS juga serunya, perlu menjadi wartawan dan pemberita parti dan kerajaan kerana perang alaf baru adalah perang persepsi dan pemikiran di mana medannya adalah media sosial.

Beliau berharap Pemuda PAS mengoptimumkan penggunaan ruang siber dalam memberi penjelasan dan penerangan terhadap serangan kepada PAS serta kerajaan dan bersistematik dalam bertindak balas dengan mengenal pasti isu-isu dan kreatif dalam penyampaian bersesuaian dengan golongan sasaran.

“Banyakkan content bersifat video pendek yang lebih ‘engaging’, fahami ‘algorithm’ media sosial agar kita dapat memaksimakan capaian,” ujarnya.

Pemuda PAS juga diharapnya bertindak sebagai agen keharmonian kaum kerana PAS kini adalah pemimpin kepada rakyat Malaysia yang majmuk di mana menjadi tanggungjawab untuk berperanan memimpin kepelbagaian kaum dan agama anak muda.

Pemuda PAS katanya, perlu memperbanyakkan dialog dan mengadakan program bersifat pendidikan kepada golongan bukan-Melayu dan bukan-Islam yang masih ramai mempunyai salah tanggapan terhadap perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -
- Advertisement -