Perwakilan Dewan Ulamak fokus isu kerjasama politik

- Advertisement -

MACHANG: Islam hendaklah sentiasa menjadi asas kepada setiap kerjasama politik yang berlaku antara PAS dengan mana mana parti lain.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Terengganu berkata indikator Islam hendaklah menjadi asas dalam pembentukan muafakat politik seperti yang berlaku sekarang.

- Advertisement -

“Kita hendaklah memposisikan ulamak bagi memastikan kestabilan kerajaan yang didukung sekarang,” katanya ketika membahas ucapan utama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pada Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat di sini hari ini.

Isu kerjasama politik Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) disentuh hampir kesemua perwakilan Dewan Ulamak negeri-negeri.

Seramai lapan perwakilan membahas ucaptama tersebut.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pahang pula berkata, sebelum ini PAS sering menyatakan hasrat mahu menuju ke Putrajaya.

Namun katanya, sekarang PAS sudah berada dalam kerajaan di Putrajaya tentunya berdepan dengan pelbagai cabaran bagi mempertahankan kemenangan tersebut.

Beliau juga berkata, PAS hendaklah memanfaatkan kedudukan bersama kerajaan PN sekarang dengan mengajak parti lain memperteguhkan aspek akidah. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -