PERKESO turun padang promosi SKSPS

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan turun padang bagi mempromosi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang baru diwujudkan supaya lebih ramai rakyat di peringkat bawahan memperoleh faedah perlindungan diri, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau menggesa golongan bekerja sendiri seperti petani, nelayan, tukang rumah, peniaga kecil dan pekerja ladang agar membuat caruman untuk manfaat masing-masing dan waris sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap mereka sebagai pencarum.

“Syaratnya cukup mudah, cuma mendaftar di pejabat-pejabat Perkeso berdekatan tanpa memerlukan syarat-syarat ketat,  hanya memerlukan pengesahan dari pemimpin setempat untuk memperakui kelayakan,” katanya di sini, hari ini.

- Advertisement -

Beliau ditemui selepas menyampaikan faedah PERKESO kepada waris Tuan Isma Farazilahidayah Ismail, 38, yang maut dalam kemalangan pada 2 September lepas.

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 telah dikreditkan ke dalam akaun suaminya Mohd Haqim Che Lah dan suaminya turut menerima Pencen Penakat sebanyak RM650 sebulan seumur hidup.

Awang berkata mereka hanya perlu membayar caruman sebanyak  RM157.50 sen setahun atau jika tidak mampu mereka dibenarkan membuat bayaran ansuran bulanan.

Sementara itu Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata bagi tempoh Januari tahun ini sehingga kini, sebanyak 56 pencarum sudah mendapat faedah yang membabitkan peruntukan sebanyak RM7 juta. – BERNAMA

- Advertisement -