PAS sedia gerakkan jentera bantu rakan PN

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: PAS berjiwa besar dalam kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan sedia menggerakkan jentera pilihan rayanya bagi membantu parti yang bertanding.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ujian pertama bagi Perikatan Nasional adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

- Advertisement -

“Ujian pertama PN ini dalam PRN di Sabah. Semalam, saya bersama Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) di Sabah. Diadakan pertemuan dengan semua parti-parti politik.

“Kita (PAS) telah membuat satu keputusan untuk menggerakkan jentera kita bagi memastikan kemenangan calon-calon yang mewakili Perikatan Nasional, sama ada Barisan Nasional (BN), BERSATU dan rakan-rakan untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri (Sabah),” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.

Ketika ditanya reaksi ahli-ahli PAS Sabah, kata Tuan Ibrahim, bahawa PAS boleh uruskan dalam kalangan ahli partinya yang tidak berpuas hati.

“Walaupun rasa kecewa itu tidak dinafi, memang ada di mana-mana. Tetapi, alhamdulillah secara keseluruhannya kepimpinan PAS di Sabah dan jentera parti akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh Presiden.

“Kita (PAS) boleh urus (ahli) yang tak puas hati, Insya’Allah. Ahli PAS ini terkenal dengan ahli yang patuh kepada keputusan parti.

“Saya telah bertemu dengan seluruh kepimpinan PAS di Sabah dan mereka akur dengan keputusan parti. Sebab, bagi kita tidak menyertai (pilihan raya) bagi mengelak pertembungan sama-sama kita (PN).

“Kita pegang dengan apa yang telah kita (PAS) setuju supaya mengelak pertembungan sama-sama dalaman rakan-rakan kita, supaya tidak memberi ruang kepada pembangkang atau parti WARISAN dan sekutunya untuk mencapai kemenangan,” jelasnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairi Nizam Khirudin.- HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -