PAS lepasi cabaran lampau, kini pacu masa depan

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: PAS telah melepasi era tuduhan yang melabel parti ini dengan agenda keagamaan secara fobia terhadap Islam dan perkauman tertutup, sebaliknya berjaya menyerlahkan perjuangan universalnya dan diterima masyarakat.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan tersebut antaranya disumbangkan pencapaian di Kelantan sebagai contoh sesuai toleransi dalam hak beragama yang bukan sahaja dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga oleh Allah dalam al-Quranul Karim.

“Demikian juga keadilan, bukan dijamin dalam Perlembagaan sahaja, dijamin oleh Allah dalam Quran. Di mana kita dituntut berlaku adil. Ayat-ayat dibaca oleh pimpinan kita sebelum ini, memperlihatkan bagaimana kita nak menterjemahkan keadilan ini, kesaksamaan ini kepada umat dan kepada masyarakat.

“Lantaran itu, kita penuh yakin dan percaya ketakutan kepada jenama dapat kita urus bila mana kita berjaya membuktikan kejayaan kita dalam menterjemahkan agenda dalam apa yang kita sebut selama ini dalam tindakan politik kerajaan yang kita telah kuasai.

“PAS kita memerintah 30 tahun di Kelantan. Kita mengambil alih kerajaan di Terengganu. Alhamdulillah, terkini kita ambil alih kerajaan bersama dengan rakan-rakan di Kedah.

“Kita menyertai Kerajaan Pusat dalam keadaan yang tidak begitu kukuh. Oleh kerana itu, kita perlu mempersiapkan jentera parti dengan serta-merta, bagi menghadapi PRU yang tidak berapa lama lagi,” ujarnya optimis.

Beliau berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentar tadi.

Beliau turut mengemukakan penjelasan mengenai kebersamaan PAS dengan rakan Gagasan Sejahtera, dalam Muafakat Nasional, serta turut memayung Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan.

Terangnya, Muafakat Nasional dibentuk dalam konteks membina kekuatan di Semenanjung melalui pengukukuhan PAS bersama Gagasan Sejahtera, Umno dan Barisan Nasional, serta BERSATU dengan komponen-komponennya.

“Di Sabah ada Muafakat di peringkat negeri Sabah. Di Sarawak ada muafakat dalam konteks negeri Sarawak. Gabungan ketiga-tiga muafakat inilah membentuk Perikatan Nasional di peringkat pusat, supaya kita memahami di mana kedudukan kita.

“Oleh kerana itu kita menyedari bahawa kedudukan Parlimen yang tidak kukuh, tidak stabil menyebabkan tidak banyak perkara perubahan yang kita boleh lakukan. Oleh kerana itu kita mesti gerakkan seluruh kekuatan bagi mencapai dua pertiga majoriti Parlimen dalam pilihan raya yang akan datang.

“Keterampilan PAS, kedudukan dalam konteks kerajaan. Kita di, ada tiga Menteri dan lima Timbalan Menteri, di samping beberapa pos-pos yang lain,” ujarnya menerangkan kedudukan sebenar tersebut.

Paling penting menurutnya, dengan sedikit peluang diberi amanah memikul tanggungjawab yang berat ini bersama dengan rakan-rakan politik, PAS berusaha menyempurnakan perintah Allah S.W.T sebagaimana kata Saidina Umar al-Khattab R.A.

“Mana-mana perintah Allah yang tak boleh dilaksana kerana tidak ada kuasa politik, aku akan gunakan kuasa politik yang aku ada demi melaksanakan perintah Allah S.W.T,” ujarnya mengungkap kalimat emas itu.

Maka tegas beliau, kuasa politik adalah bagi menyempurnakan perintah Allah iaitulah ke arah kemakmuran dunia, keadilan sejagat dan keharmonian semua bangsa.

Lanjutnya lagi, negara masih berdepan dengan pelbagai masalah dalam tempoh sejak merdeka di mana perlu diurus isu perpaduan nasional dan perbandingan perbezaan di antara agama-agama yang seringkali dimainkan.

“Isu pembangunan luar bandar yang masih lagi belum mencapai tahap sepenuhnya, bahkan kita berdepan dengan ketidakadilan sosial, ketidakadilan ekonomi yang berlanjutan. Semua ini memerlukan suatu penelitian kepada agenda-agenda besar yang perlu kita hadapi.

“Sehubungan dengan itu, maka kita telah pun berusaha pengalaman yang ada di Kelantan selama 30 tahun, pengalaman Negeri Terengganu dan pengalaman negeri lain yang kita dapat adaptasikan bersama rakan-rakan kita dalam kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -