Muktamar DPPM ikut SOP agar tiada penularan

Foto RIZAL TAHIR

PENGKALAN CHEPA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menyediakan beberapa langkah Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus sepanjang perjalanan muktamar dewan ini bagi mengelak berlakunya ‘Kluster Muktamar PAS’ akibat penularan Covid-19.

Antara langkah-langkah yang diatur, meminimakan kehadiran perwakilan semua kawasan, dari empat (sebelum ini) kepada hanya dua orang sahaja setiap kawasan.

Advertisement

Pengarah panitia Muktamar DPPM Mohammad Nadzim Ahmad Azmi berkata, sebagai langkah pencegahan, suhu badan perwakilan serta pengasingan keluar masuk dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Tiada pemerhati yang dijemput, mengurangkan jumlah penerima anugerah dan lain-lain.

“DPPM mengucapkan terima kasih kepada Papisma Negeri Kelantan dan Jabatan Amal Malaysia Kelantan atas perancangan dan perlaksanaan SOP tersebut,” ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya DPPM terpaksa membuat keputusan ‘pahit’ tidak menjemput perwakilan dari tiga buah negeri, iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berikutan penularan wabak yang agak tinggi di negeri terbabit.

Katanya, tindakan berkenaan begitu sukar untuk diputuskan DPPM, namun untuk kepentingan semua pihak, ia terpaksa dilaksanakan.

“Namun Jawatankuasa Pemuda PAS ketiga-tiga negeri menyampaikan ucapan salam buat semua sidang muktamar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2020