Memposisi DPPM dalam landskap politik anak muda

PENGKALAN CHEPA: Pemuda PAS agresif pada setiap perancangan dan gerak kerjanya dalam mempersiap dan memposisi Pemuda PAS sebagai kepimpinan masa hadapan negara, demikian kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Menurutnya, semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, Pemuda PAS memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kolaboratif serta memimpin kepada penyatuan pemuda di peringkat parti-parti pembangkang.

“Pemuda PAS telah melakukan pertemuan atau ‘engagement’ dengan pelbagai pihak termasuklah bekas Menteri Belia dan Sukan, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia (PPUM), Pemuda MCA, Pemuda MIC dan rakan- rakan dari Gagasan Sejahtera untuk berkongsi idea dan pandangan berkenaan hala tuju pembangunan anak muda Malaysia.

“Pemuda PAS juga telah menganjurkan Townhall Mega Anak Muda dan menjemput semua pimpinan politik pemuda untuk bersama-sama sepentas membicarakan topik-topik dan isu-isu anak muda. Pertemuan ini dirancakkan lagi apabila tertubuhnya Muafakat Nasional.

“Di samping itu, Pemuda PAS juga sangat responsif sama ada melalui kenyataan media, melaksanakan rapat umum dan forum terbuka bagi menyatakan pandangan Pemuda PAS terhadap isu-isu domestik khususnya yang menyentuh berkenaan anak muda.

“Isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum serta isu kedaulatan negara serta berkaitan dengan hak-hak terkandung dalam Perlembagaan Negara yang mewarnai pemerintahan PH selama 22 bulan,” ujarnya pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentar tadi.

Katanya, setelah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pusat, pendekatan Pemuda berubah di mana setiap isu yang dikenalpasti perlu disalurkan pada saluran yang tepat agar dapat diselesaikan secara tuntas oleh pihak Kerajaan.

Beliau memaklumkan bahawa Pemuda PAS telah bertemu dan berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong pada 5 Jun 2020 berkenaan isu pemandu mabuk dengan mengemuka syor berkenaan penyalahgunaan alkohol.

“Akhirnya, Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada kesalahan pemandu mabuk yang menyebabkan kematian telah berjaya diluluskan.

“Pemuda PAS juga berkesempatan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi membawa pada 28 Julai 2020, lima perkara telah diutarakan,” ujarnya.

Dibutirkannya, Pemuda PAS bersedia untuk membantu pihak Kementerian Agama dalam pelbagai usaha mendampingi para belia atau beliawanis bagi memperkukuh fikrah Islami dan modal Insan berteraskan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Pemuda PAS juga katanya, menegaskan agar Akta RUU355 dapat dibentang dan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang, selain akan menyediakan Modul cadangan dan tenaga pakar dalam usaha Pembangunan Program Tarbiyah dan Pemulihan golongan Transgender (PTPT) yang holistik.

Pemuda PAS bagi mewakili Pemuda Muafakat Nasional juga maklumnya, menegaskan agar pihak kerajaan menyegerakan penubuhan RCI untuk isu Tabung Haji, selain menyeru agar usaha dakwah dan kebajikan umat Islam di Sabah dan Sarawak dapat diberikan perhatian yang lebih serius dan menyeluruh.

“Lebih mengujakan, Pemuda PAS telah bertemu dengan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Hj Yassin pada 4 September 2020 bagi membawa cadangan solusi untuk mengurangkan pengangguran di kalangan Anak Muda iaitu pekerja belia dan graduan.

“Tiga Teras Strategik yang difokuskan adalah Peluasan Jaringan, Peningkatan Kemahiran dan Pertambahan Peluang,” ujarnya memperincikan perkara tersebut.

Antaranya supaya transformasi portal ‘myfuturejobs’ dan ‘jobsmalaysia’ menjadi Platform Pemadanan Kerjaya Bersepadu Nasional dan galakan graduan untuk melanjutkan pelajaran dan meningkatkan kemahiran melalui pensijilan.

Juga perluasan peluang pekerjaan dalam sektor awam dan badan berkanun, serta elaun pencari kerja belia melalui takaful pekerjaan Malaysia dan program penugasan semula pekerjaan dalam sektor terpilih serta pembinaan ekosistem latihan dalam industri yang lengkap.

Beliau juga menggariskan perlunya kerjasama antara industri dan institusi pendidikan dalam mewujudkan kurikulum pendidikan menengah yang mesra industri dan SME menuju IR 4.0 bersama penaiktarafan sektor pendidikan teknikal dan vokasional.

Juga mewujudkan Wakaf pembangunan Start-Up belia serta insentif pengecualian cukai kepada entiti perniagaan belia dan insentif pengurangan cukai kepada syarikat-syarikat dan entiti mesra-pekerja belia, serta intensifikasi ‘Social Enterprise’ (SE) belia tempatan.

“Saya mengharapkan agar pendekatan ini juga diambil oleh Pemuda PAS di peringkat negeri-negeri agar kita memainkan peranan aktif sebagai Rijalud-daulah dalam membantu menjayakan agenda Kerajaan PAS dan PN di peringkat negeri.

“Tahniah kepada Perhubungan PAS Negeri Kedah yang berani memposisikan Pemuda di jawatan-jawatan kritikal di dalam Kerajaan PN Kedah. Kedah adalah negeri terbaik sebagai model parti menguasai kerajaan yang efektif.

“Tahniah juga dengan pencapaian 100 hari Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor. Semoga kejayaan memerintah ‘Mini Malaysia’ ini akan merintis kemenangan yang lebih besar kepada PAS dalam PRU ke-15 nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

Advertisement