Kejayaan Sutradara Areel amat membanggakan – MB

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sutradara filem Geran, Areel Abu Bakar yang berjaya merangkul anugerah Kecemerlangan filem aksi di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Advertisement

Tambah membanggakan lagi katanya, Areel merupakan anak Kedah kelahiran Alor Setar dan kini menetap di Kulim.

“Syabas  dan tahniah kepada beliau dengan semua krew produksi Layar Pictures Sdn Bhd atas kejayaan berkenaan,” kata beliau dalam satu ulasannya malam tadi mengenai kejayaan anak jati Kedah itu.

Filem aksi yang memenangi ‘Daniel A.Craft Award’ di Festival Filem Asia New York (NYAFF) ke-19 itu pengambarannya banyak menggunakan latar belakang negeri Jelapang Padi itu.

Kejayaan itu kata Muhammad Sanusi, amat membanggakan negeri ini kerana filem itu membuktikan keupayaan karyawan tempatan berada di landasan yang betul  (Road to Oscars) yang menjadi halatuju Perbadanan Filem Nasional (FINAS).

“Semoga kejayaan ini akan membarakan lagi semangat penggiat seni tempatan terutama daripada kalangan anak Kedah,” tambahnya lagi.- HARAKAHDAILY 12/9/2020