Gagasan Pemuda PAS untuk anak muda

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Pemuda PAS melihat perlunya anjakan segera kepada inisiatif-inisiatif anak muda yang bersifat lebih lestari untuk menjamin pembentukan generasi rakyat berketahanan tinggi dalam menghadapi segala senario dan situasi semasa dan mendatang.

Untuk itu Pemuda PAS menggariskan keperluan Kerajaan Malaysia melihat tindakan dan penelitian semula Dasar Belia Negara agar dapat memenuhi keperluan negara berdasarkan situasi semasa dan perubahan landskap sosio-politik-ekonomi disebabkan COVID-19.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin membentangkan butiran berkenaan pada ucaptamanya di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentar tadi.

“Kedua, memperkukuh perpaduan dan semangat patriotisma di kalangan anak muda dalam pembinaan negara menerusi penglibatan mereka dalam urus tadbir negara dan penggubalan polisi serta penerapan kefahaman Rukun Negara.

“Ketiga, program pembangunan anak muda yang lebih menyeluruh bagi menghasilkan kepimpinan dan tenaga kerja berkompetensi tinggi untuk membangun negara.

“Keempat, pembangunan ekonomi anak muda yang mapan bagi membentuk kuasa ekonomi anak muda yang berdaya saing serta menyumbang untuk ummah dan kelima, pembinaan Dasar Pendidikan yang lebih holistik dan rabbani untuk melahirkan modal insan yang cemerlang,” ujarnya.

Turut disenarainya adalah pembangunan sukan yang lebih sistematik dan tersasar bagi melahirkan atlit bertaraf antarabangsa yang mengharumkan nama negara, serta mengaktifkan kerjasama belia serantau bagi membincangkan isu pembangunan ummah serantau.

Selain itu kemukanya, supaya memperkukuh ikatan politik anak muda melalui platform Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional yang akan meningkatkan kesedaran politik di kalangan generasi muda, selain pemantapan perpaduan negara melalui pembudayaan dialog antara kaum dan agama dan pengukuhan sekolah kebangsaan.

“Untuk ini, Pemuda PAS akan menggerakkan organisasi dan agensi-agensi yang berada di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk membuat kajian terperinci serta menghasilkan cadangan-cadangan untuk dibawa kepada kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan supaya dapat ambil perhatian dan dilaksanakan bagi manfaat anak muda Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -
- Advertisement -