Ekonomi Malaysia masih mampu tumbuh positif

- Advertisement -

WALAUPUN kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup sebanyak 17.1 peratus untuk Suku Kedua 2020, Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat masih yakin Malaysia mampu untuk merekodkan pertumbuhan positif untuk 2020.

- Advertisement -

Berdasarkan analisa terkini data-data ekonomi dan pasaran kewangan negara untuk bulan Julai 2020, kami masih berkeyakinan akan keupayaan ekonomi Malaysia untuk tahun ini. Sebagai rujukan, berdasarkan prestasi untuk Suku Kedua 2020 ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meletakkan sasaran baharu pertumbuhan KDNK untuk 2020 iaitu antara -3.5 peratus hingga -5.5 peratus.

Walaupun dengan fakta di atas, kami masih mensasarkan pertumbuhan positif bagi negara, walaupun pada julat yang amat marginal. Ini berdasarkan kepada angka-angka terkini, yang pada keseluruhannya menunjukkan suasana makro ekonomi Malaysia bergerak dalam trend meningkat dan ke arah normalisasi.

Aktiviti ekonomi secara umumnya menunjukkan peningkatan terutama dalam sektor pembuatan. Data terkini untuk bulan Julai 2020 menunjukkan Indeks Pengeluaran Industri (IPI) telah mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus berbanding bulan Jun 2020, pertumbuhan positif yang pertama sejak Februari 2020. Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan daripada semua sektor utama iaitu pembuatan 0.2 peratus perlombongan (4.4 peratus) dan elektrik (4.2 peratus).

Ini secara langsung telah memberi kesan kepada pasaran buruh Malaysia yang mana kadar pengangguran juga telah menurun sebanyak 3.6 peratus kepada 4.7 peratus, berbanding Jun 2020. Justeru telah memberikan pekerjaan kepada 15.07 juta pekerja yang berkerja di dalam pasaran buruh negara.

Berdasarkan penelitian kami, paras harga juga telah menunjukkan pergerakkan ke arah lebih stabil. Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk Julai 2020 menunjukkan penyusutan pada julat yang mengecil iaitu pada -1.3 peratus. Ini menunjukkan trend ke arah kestabilan berbanding -1.9 peratus pada Jun 2020.

Justeru langkah BNM mengekalkan Kadar Asas Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus adalah tepat bagi mengekang tekanan deflasi dan mengelakkan paras harga daripada terus mengalami kejatuhan.

Sebagaimana kenyataan sebelumnya, kami berpandangan OPR tidak harus berterusan diturunkan, sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun 2020, bagi mengekal keseimbangan pasaran. Ini terbukti bila mana pasaran kewangan juga telah menunjukkan peningkatan di mana pinjaman bersih tumbuh sebanyak 4.0 peratus bagi Julai 2020, yang disokong oleh bon korporat yang tumbuh pada 2.9 peratus dan pinjaman (4.5 peratus). Secara pecahan pinjaman isirumah tumbuh sebanyak 4.3 peratus dalam tempoh yang sama manakala pinjaman perniagaan tumbuh pada 3.9 peratus.

Walaupun terdapat kebimbangan kepada daya tahan sektor perbankan dalam regjim OPR yang rendah, namun kami berpandangan ianya masih mampu untuk bertahan walaupun terdapat impak kepada keuntungan sektor tersebut. Setakat Julai 2020 nilai lebihan modal sistem perbankan Malaysia adalah sebanyak RM118.1 billion.

Kami yakin dengan langkah-langkah makro dan mikro prudential yang ada sekarang, termasuk kepatuhan kepada garis panduan Basel III, sistem kewangan negara akan mampu untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -