Demografi penduduk Sabah berbeza – Dr Samsuri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS memberi laluan kepada rakan BN-PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara lain adalah kerana faktor geografi dan demografi penduduknya yang berbeza dengan Semenanjung.

Menurut Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, perkara sama tidak akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 memandangkan PAS akan masuk bertanding sebagai sebuah kerajaan di negeri-negeri di Semenanjung.

- Advertisement -

“Kita kena tengok, suasananya berbeza, geografinya berbeza, demografi pengundi yang ada berbeza, kerajaan negerinya berbeza, pengundinya sangat berbeza dengan semenanjung.

“Di mana dalam PRU-15, PAS akan masuk sebagai sebuah kerajaan, kami menjadi sebahagian daripada kerajaan dalam peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Dan apabila kita masuk dalam PRU-15 nanti, maka tentunya sangat relevan untuk PAS bersama dengan rakan-rakan yang lain untuk sama-sama terlibat dalam PRU akan datang.

“Jadi tak timbul isu PAS atau mana-mana parti (dalam PN atau MN) yang sudah menang untuk mengundurkan diri (selepas ini dalam PRU-15).

“Pada saya itu tidak munasabah, kerana saya percaya segala urusan kerusi dalam PN dan MN dapat diselesaikan dalam PRU-15 ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas persoalan yang ditimbulkan media sama ada PAS akan melakukan perkara sama dalam PRU-15 sepertimana yang dilakukan dalam PRN Sabah.

Mengulas lanjut, kata Menteri Besar Terengganu itu, pengunduran PAS dalam PRN Sabah merupakan satu keputusan yang mendahulukan kepentingan kemashlahatan rakyat berbanding kehendak parti.

Katanya, objektif yang paling besar yang dimahukan PAS adalah untuk melihat kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk menang di Sabah menewaskan Pakatan Harapan.

“Oleh yang demikian, sentimen kepartian oleh setiap parti yang hadir dalam PRN Sabah ini terutama PN dan MN, adalah memastikan liabiliti setiap kerusi yang dipertandingkan di 73 buah kerusi.

“Ini menyebabkan kita melihatnya sebagai satu bigger picture pada semua parti yang ada di Sabah bahawa yang paling penting ialah kita mesti satu lawan satu.

“Jadi ini adalah antara konsep consideration yang kita dapat faham daripada kenyataan media Presiden PAS mengenai pengunduran PAS dalam PRN Sabah,” ujarnya dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-60, di sini, malam tadi.- HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -