Anugerah Khas ‘jambatan’ dekati PAS – Mr Kokom

Mr Kokom (kanan) bergambar bersama Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman

PENGKALAN CHEPA: Anugerah Khas yang diberikan Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah bertujuan agar golongan muda yang mencipta nama dalam pelbagai bidang dapat merapatkan golongan berkenaan dengan PAS.

Youtuber terkenal yang dikenali sebagai Mr Kokom berkata penganugerahan itu merupakan satu ‘jambatan’ anak muda untuk mendekati mana-mana parti politik, termasuk PAS.

Advertisement

“Saya memang cukup terharu di atas anugerah yang memang saya langsung tidak menduganya. Saya bukan sesiapa pun.

“Ini merupakan anugerah pertama yang saya dapat, terima kasih banyak kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana memberi anugerah ini pada kami,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini selepas menerima Anugerah Khas sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) hari ini.

Mengulas lanjut Mr Kokom berkata, dengan anugerah itu juga masyarakat tidak akan ‘menyuluh’ perjuangan PAS hanya untuk berpolitik semata-mata, sebaliknya turut memperjuangkan hak masyarakat.

Tambahnya, masih ramai anak muda di luar sana cemerlang dalam bidang masing-masing.

Anak muda yang berusia 30 tahun itu menempa nama yang cukup besar dalam industri hiburan tanah air dengan penghasilan video viral lain dari yang lain.

Kerana keistimewaannya, akaun Facebook beliau kini telah diikuti 906,000 pengikut, youtube 703,000 subscriber dan instagram 108,000 pengikut.

Dengan hanya pembuatan video amatur kini menjadi rujukan sebagai ikon dalam penghasilan video viral.

Antara pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya Astro, Maybank Sdn Bhd serta beberapa syarikat kerajaan.- HARAKAHDAILY 12/9/2020