PRN Sabah: Sikap terpuji kepimpinan PAS

- Advertisement -

PENDIRIAN PAS yang matang dalam menerima keputusan penamaan calon Perikatan Nasional (PN) untuk pilihanraya negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung 26 September nanti wajar dihargai dan dipuji.

- Advertisement -

Kenyataan dari Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah adalah berjiwa besar serta memahami kepentingan muafakat secara taktikal atas wadah yang sama iaitu PN.

Rakyat mengharap agar PN dapat menjadi contoh dalam toleransi kuasa politik atas kepentingan dan agenda bersama bagi mentadbir negara ini. Kunci di sini ialah diplomasi dan perkongsian berdasarkan realiti sosio-politik tempatan agar semua pihak merasakan semangat ‘kebersamaan’.

Sesungguhnya simbol atau bendera yang dijunjung oleh PAS, BERSATU, STAR dan PBS untuk PRN Sabah adalah satu iaitu PN. Maka adalah benar kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki bahawa secara tersiratnya PAS bagaikan tetap bertanding di Sabah, iaitu melalui PN yang turut diwakili PAS.

Maka diharap rakan-rakan komponen lain dalam PN terus berusaha mengukuhkan lagi kesefahaman, permuafakatan, kerjasama, perkongsian, toleransi dan saling hormat-menghormati antara kita semua agar sasaran untuk membebaskan Sabah dari proksi DAP serta pihak yang berfikiran kenegerian sempit dapat dicapai in sya Allah.

Semoga rakyat Sabah terus maju, bersatu-padu, harmoni dan selamat bersama Kerajaan Pusat negara Malaysia pimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disayangi.

‘Pribumi Bangkit 2020’

DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
11 September 2020 – HARAKAHDAILY 11/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -