Prestasi Menteri, Timbalan Menteri PAS amat baik

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS berpuas hati dengan prestasi Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik meskipun dalam waktu yang singkat baharu tujuh bulan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik itu dapat menjalankan tugasnya dengan baik.

- Advertisement -

Bahkan, katanya dibantu oleh rakan-rakan dalam parti serta mendapat kerjasama baik daripada pegawai-pegawai kerajaan dan anggota kabinet.

“Dalam masa yang singkat (tujuh bulan) dan pendek ini, Alhamdulillah dapat menjalankan tugas dengan baik. Dibantu oleh rakan-rakan dalam parti (PAS) dan kerjasama yang baik daripada pegawai-pegawai kerajaan.

“Mereka (pegawai) sangat selesa dengan menteri-menteri yang ditugaskan itu. Di samping, kita mengadakan hubungan yang baik dengan anggota kabinet seluruhnya, dan kita dihormati oleh semua pihak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily selepas Majlis Serahan Dana AiD4Lebanon oleh PASRelief dan 41 badan bukan kerajaan (NGO) di Pejabat Presiden PAS, Rusila, Marang, hari ini.

Dr Khairudin bahayakan diri demi rakyat

Ketika ditanya desakan DAP agar Dato’ Dr Khairuddin meletak jawatannya atas isu SOP (Prosedur Operasi Standard), kata Tuan Guru Abdul Hadi, DAP sengaja mencari isu dan bukannya menyelesaikan masalah rakyat.

Sebenarnya, kata Ahli Parlimen Marang itu tindakan Menteri berkenaan telah melalui SOP tetapi sengaja dicetuskan isu oleh DAP.

Menurutnya, Menteri PAS itu sanggup mengorbankan diri menghadapi bahaya Covid-19 hingga berjaya meningkatkan harga sawit hari ini.

“DAP selalu mencari isu-isu dan bukannya menyelesaikan masalah rakyat. Apa yang penting ialah, Menteri kita (PAS) dapat menjalankan usaha sehingga berjaya menaikan harga (kelapa) sawit.

“Harga naik dengan mencari pasaran di luar negara, sanggup mengorbankan diri. Mengorbankan diri menghadapi bahaya.

“Sebenarnya, melalui SOP tetapi sengaja dicetuskan oleh DAP. Pihak polis sudah menyiasat dan kita tunggu (keputusan) siasatan polis,” jelasnya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjadi sasaran kritikan DAP setelah pulang dari Turki.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah pun memohon maaf, membayar kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu, serta beliau memulangkan semua gajinya sebagai Menteri bagi Mei hingga Ogos 2020 kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19). – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -