Pendidikan harus capai tujuan negara – Nuridah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muslimat PAS menyeru kepada hasrat menjana satu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid untuk berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk serta memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Meskipun mereka belajar di pelbagai jenis sekolah, sama ada sekolah kebangsaan, sekolah vernakular, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah Orang Asli, mahupun sekolah rumah (homeschooling),” demikian kata Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Perkara itu dikemukakan beliau dalam Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-60 di Hotel Premiera, Menara MARA, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, integrasi mungkin boleh diwujudkan dengan menggalakkan sekolah-sekolah yang berlainan ini untuk bekerjasama mengadakan program dan aktiviti di mana pelajar dan guru mereka dapat turut serta bersama.

“Dalam program integrasi yang tersusun antara sekolah-sekolah tersebut melalui aktiviti seperti ko-kurikulum, program budaya, dan mempertingkatkan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular serta pembelajaran Bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa-bahasa etnik peribumi Sabah dan Sarawak di Sekolah-Sekolah Kebangsaan,” ujarnya.

Ustazah Nuridah turut tidak menafikan bahawa pendidikan arus perdana yang memerlukan kajian semula keberhasilannya agar menepati Falsafah Pendidikan Negara.

Katanya, Lajnah Pendidikan memberikan komitmen untuk memastikan pendidikan negara menjadi wadah melahirkan sebuah masyarakat yang mempunyai jati diri merdeka, mendukung Perlembagaan dan menghayati prinsip Rukun Negara.

“Kita seharusnya sentiasa memikirkan hala tuju sistem pendidikan kebangsaan setelah 63 tahun merdeka dan produk modal insan yang sudah dilahirkan dari sistem pendidikan kebangsaan ini.

“Pakar-pakar pendidikan yang memiliki ilmu tinggi dan pengalaman luas dapat melihat kembali pembudayaan ilmu yang diterapkan dalam kehidupan rakyat menerusi pelbagai agenda masyarakat dan media.

“Sistem peperiksaan yang selama ini banyak diperkatakan tidak mampu membantu usaha mencapai falsafah pendidikan kebangsaan yang menyeluruh juga perlu dikaji semula adakah masih relavan atau perlukan nafas baru?” suaranya.

Menurut beliau, sudah sampai masanya, matlamat pendidikan hari ini bukan sahaja melahirkan pelajar yang memiliki sijil peperiksaan bergulung-gulung tetapi kembali kepada matlamat asal pendidikan sebenar.

Iaitu katanya, melahirkan masyarakat yang berkeperibadian tinggi jati diri sebagai bangsa bertamadun, berintegriti, berakhlak mulia dan memiliki keyakinan kukuh kepada Tuhan Mencipta alam ini.

Oleh itu tegasnya, aspek ketuhanan perlu ditekankan dalam pendidikan negara bermula dari tahap pra-sekolah, tadika seperti dalam kurikulum Permata Genius sehinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi.

“Selari dengan aspirasi rukun negara Malaysia yang pertama iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’. Amat penting bagi individu yang bergelar rakyat Malaysia mempunyai kepercayaan kepada tuhan serta akhlak yang baik (rohani) selain daripada memiliki ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi), dan kesihatan diri yang baik (jasmani).

“Keseimbangan antara keempat-empat aspek di atas akan menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmoni dengan diri sendiri atau bersama orang lain,” jelasnya.

Tambah beliau, syarat untuk mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah adalah, setiap manusia perlu seimbang dari aspek luaran dan dalaman iaitu jujur, benar, baik tutur kata dan amalannya.

Individu sedemikian terangnya, memiliki ketahanan untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa jua masalah yang timbul.

“Justeru, pendidikan negara tegasnya, perlu menjadikan sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan yang penting agar berfungsi selaku tempat untuk memupuk kepercayaan, sikap toleransi dan saling hormat-menghormati serta bertanggungjawab terhadap orang lain dan membantu membina hubungan bermakna antara pelajar.

“Dalam hal ini, sistem persekolahan dan pendidikan yang inklusif atau terangkum bertujuan memupuk perpaduan atau kesepaduan sosial, seharusnya bertunjangkan empat prinsip atau tonggak pendidikan.

“Belajar untuk tahu (learning to know), belajar untuk buat (learning to do), belajar untuk jadi (learning to be), dan belajar untuk hidup bersama (learning to live together),” ujarnya memetik ayat 13 surah al-Hujurat.

Beliau pada majlis ini turut melancarkan dana pembangunan Kompleks Pendidikan Saidatina Aishah fasa pertama yang melibatkan kos tidak kurang daripada RM 1 juta ringgit untuk proses pengurusan pembelian tanah seluas lebih 6.5 ekar.

Maklum beliau, pihaknya mengorak langkah memiliki aset tanah untuk membangunkan kompleks supaya dapat memberikan pendidikan berterusan kepada kaum wanita bagi meneruskan hala tuju pendidikan Muslimat yang telah dirintis oleh Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA).

Muslimat katanya, menyedari usaha ini memerlukan tenaga dan kos sangat besar serta fasa demi fasa berperingkat-peringkat, selain sokongan dan dukungan padu daripada saff kepimpinan PAS dan semua ahli Muslimat.

Tegasnya, Muslimat PAS yakin pembangunan institusi pendidikan khusus untuk Muslimat dapat memberi lonjakan kepada pembangunan modal insan rabbani yang dicita-citakan satu hari kelak. – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -