Penceroboh larikan zink bekas asrama KIST

- Advertisement -

BACHOK: Bekas asrama yang pernah digunakan pelajar Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) di Mukim Telong dekat sini diceroboh pihak tidak bertanggungjawab malam kelmarin.

Pihak terbabit melarikan zink di dua blok bangunan asrama tersebut pada kejadian yang dipercayai berlaku pada awal pagi.

- Advertisement -

Pengurus Madinatul Ilmi Sdn Bhd Shamsuddin Mat Daud berkata, pada kejadian pertama yang berlaku pada 31 Ogos lepas, kira-kira 200 keping zink di asrama tersebut dilarikan penceroboh.

Katanya, pada kejadian terbaharu kelmarin sekali lagi asrama terbabit diceroboh dipercayai dilakukan pihak yang sama, melarikan 100 lagi keping zink di asrama tersebut.

“Kejadian pertama berlaku tanpa disedari orang ramai memandangkan kedudukan kawasan itu agak jauh daripada penempatan penduduk.

“Dan kejadian kedua awal pagi kelmarin disedari penduduk tempatan dan mereka memaklumkan kepada polis.

“Ketika saya sampai kira-kira jam 5 pagi terdapat sebuah lori dan motosikal yang dipercayai milik penceroboh yang tidak sempat dilarikan mereka selepas anggota polis sampai,” katanya di sini.

Menurutnya juga beliau membuat laporan polis ekoran kejadian tersebut yang menyebabkan pihaknya menanggung kerugian kira-kira RM60,000.

Kata beliau bangunan tersebut sebelum ini sudah dibaik pulih dan akan dijadikan sebagai sebuah sekolah tahfiz. – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -