PAN keliru bidang kuasa kerajaan negeri

ALOR SETAR: Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) Kedah dianggap gagal
membezakan antara bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan bagi menguatkuasa peraturan berkaitan Covid-19.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah Nurul Amin Hamid berkata, mereka nampak sangat tidak faham mengenai perkara tersebut.

Advertisement

Sedangkan katanya Akta 342 (Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988) urusan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau apa sahaja berkaitan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Sebarang tindakan dan penguatkuasaan berkait akta terbabit di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan bukannya negeri.

“Mereka keliru sehingga ada pemimpin kanan parti itu dilapor mendakwa Menteri Besar tidak bertindak mengisytiharkan PKPD ekoran wabak Covid-19 melibatkan Kluster Sungai dan Telaga,” katanya di sini.

Menurutnya juga pemimpin yang juga bekas Exco sepatutnya bersikap matang dan menyumbang idea bagi sama-sama menangani wabak tersebut.

Baru-baru ini seorang pemimpin PAN melontar dakwaan di laman sosial dengan mengatakan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor gagal mengawal penularan Covid-19

“Sikap tunding jari di saat kebimbangan Covid-19 sekarang menunjukkan PAN terlalu berpolitik dan jauh daripada naratif cintakan negara,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 11/9/2020