Muslimat sedia bawa peranan dalam kerajaan

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab mengisi kemenangan bukan hanya kepada pemegang jawatan utama kerajaan sahaja, bahkan ia perlu diisi oleh semua aktivis, ahli dan penyokong PAS.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, mengisi kemenangan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak yang dekat dan sementara sifatnya tetapi untuk memenuhi matlamat jangka panjang PAS.

Perkara itu ujarnya, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS, Fasal 5 iaitu ‘Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya menuju keredhaan Allah’.

“Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara,” ujarnya pada Ucaptama Muktamar Tahunan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-60 di Hotel Premiera, Menara MARA, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, dengan PAS kini turut bersama dalam pemerintahan Kerajaan Persekutuan dan mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah menjadikan parti ini sedang diperhatikan rakyat.

Oleh itu jelasnya, menjadi tanggungjawab seluruh anggota Jemaah untuk memberikan sokongan yang bersungguh-sungguh bagi mengisi kemenangan ini.

“Adakah PAS benar-benar parti yang berintegriti dan bersih? Adakah PAS mampu menguruskan ekonomi negara? Adakah PAS benar-benar prihatin terhadap masalah rakyat? Adakah PAS mampu menerajui kepimpinan negara?

“Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu dijawab. Jawapannya bukan melalui pengakuan dan penjelasan lisan sahaja tetapi dengan melalui tindakan dan prestasi kerja,” ujarnya mengingatkan.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh ahli-ahli PAS terutama Muslimat perlu mempunyai tiga persediaan iaitu dari aspek kualiti kepimpinan, pemikiran dan kebudayaan, serta iman dan akhlak.

Terang beliau, usaha-usaha tersusun dan berstrategik perlu digarap bagi melahirkan barisan kepimpinan yang mampu mengisi ruang teraju pentadbiran sebagai anggota kabinet kerajaan.

Serta serunya, pasukan yang mantap bagi menggerakkan agensi utama kerajaan, institusi-institusi berkaitan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya.

Tegasnya, tanggungjawab dalam kepimpinan negeri serta negara memerlukan orientasi baharu dari sudut sikap, kaedah bertindak, interaksi bersama masyarakat serta cara menangani sesuatu isu.

Di mana kupasnya, wujud keperluan untuk membezakan sikap, pemikiran dan budaya sebagai pembangkang dan sebagai kerajaan atau disebut sebagai anjakan paradigma (paradigm shift).

“Perubahan sikap ini sangat penting agar ahli-ahli dan kepimpinan PAS dapat menyesuaikan diri dengan tanggungjawab yang digalas.

“Selain itu pemikiran dan budaya kerja Jemaah juga perlu sentiasa diolah agar menepati kehendak perkembangan semasa dari sudut budaya kerja, penggunaan teknologi, kecenderungan generasi baharu dan sosio-ekonomi masyarakat.

“Kekuatan iman dan akhlak mulia merupakan teras kepada segala kekuatan bagi pejuang Islam,” ujar beliau mengingatkan agar kesibukan menunaikan amanah dalam pentadbiran kerajaan tidak menjadi alasan untuk mengendurkan aktiviti tarbiyah.

Bahkan kata Ustazah Nuridah, seharusnya menjadi sebab untuk merancakkan lagi secara terancang bagi mengukuhkan iman dan kesungguhan beramal membina integriti diri.

Menurutnya, jawatan dan pangkat serta kuasa menguruskan kewangan dan khazanah negara merupakan satu ujian besar yang menuntut agar proses tarbiyah diperkukuh dengan tersusun rapi dan bersinergi.

Aktiviti tarbiyah ujarnya, bukan hanya dilaksanakan melalui jentera parti, bahkan diserapkan juga dalam aktiviti-aktiviti kerajaan dan juga GLC berkaitan sebagai sebahagian dari proses pengukuhan integriti dalam kerajaan. – HARAKAHDAILY 11/9/2020