Muslimat perlu berani, berketrampilan – Nuridah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru Muslimat PAS agar memperlihatkan keberanian dan keterampilan mereka sebagai pemimpin yang berwibawa dalam kalangan wanita Malaysia.

Bagi mencapai cita-cita ini, PAS perlu lebih dominan mengunguli peringkat eksekutif seiring dengan legislative, supaya tidak dilihat seolah-olah terpinggir, selain perlu dilihat seimbang antara keperluan peranan kepimpinan muslimin dan muslimat.

- Advertisement -

Demikian kata ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke-60 yang berlangsung di Hotel Premiera Menara MARA Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang bahawa keterlibatan muslimat secara langsung di peringkat urus tadbir kerajaan tempatan adalah sangat penting.

Justeru itu katanya, suatu usaha penambahbaikan yang drastik dan tuntas perlu dirangka dan dijayakan agar suara muslimat dapat dilihat lebih ke hadapan.

Beliau berkata, jika disoroti sejarah penyertaan wanita dalam kepimpinan politik umumnya dan pilihan raya khususnya, sumbangan tokoh-tokoh wanita lampau boleh diambil sebagai pengajaran dan iktibar oleh generasi muda masa kini.

Katanya, pihaknya tidak hanya mahu menambah kuantiti penglibatan wanita tetapi kualiti dan kredibiliti seseorang wanita itu juga perlu dititikberatkan.

Dalam pada itu beliau berharap agar muslimat PAS dan ahli-ahli politik wanita yang lain terus komited meningkatkan prestasi mereka dalam kepimpinan masyarakat.

Ujarnya, sokongan dan dorongan dari barisan kepimpinan utama parti-parti itu sendiri amat perlu demi memperkasakan peranan wanita khususnya dalam aspek kepimpinan politik.

Demikian itu katanya, bakat kepimpinan mereka perlu diasah melalui seminar, bengkel dan latihan strategik yang terancang kemas dan berterusan bagi membentuk kriteria kepimpinan yang berwibawa dan efektif di samping mencapai kualiti kepimpinan yang diinginkan.

Selain itu garis panduan yang sesuai dan praktikal bagi para wanita yang ingin menceburi dan melibatkan diri dalam kepimpinan politik harus dirangka secara sistematik dan terarah supaya tanggungjawab hakiki mereka sebagai ibu dan isteri tidak diabaikan.

“Islam mengangkat dan memuliakan martabat wanita dalam pelbagai ruang dan cabang kehidupan. Sekecil-kecil peranan dalam rumah tangga sehingga penglibatan pada peringkat urusan kepimpinan politik serta pembangunan negara.

“Tidak dapat dinafikan bahawa sikap sesetengah wanita yang kurang yakin di atas kemampuan mereka sendiri untuk memimpin menjadi cabaran utama yang perlu ditangani oleh muslimat PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -