Muslimat ikrar ungguli eksekutif seiring legislatif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS perlu lebih dominan supaya tidak dilihat seolah-olah terpinggir dengan mengungguli peringkat eksekutif seiring dengan legislatif, demikian nyata Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Menurut beliau, pihaknya memandang bahawa keterlibatan Muslimat secara langsung di peringkat urus tadbir kerajaan tempatan adalah sangat penting.

- Advertisement -

Justeru itu katanya, suatu usaha penambahbaikan yang drastik dan tuntas perlu dirangka dan dijayakan agar suara Muslimat dapat dilihat lebih ke hadapan.

“Jika disoroti sejarah penyertaan wanita dalam kepimpinan politik umumnya dan Pilihan Raya khususnya, sumbangan tokoh-tokoh wanita lampau boleh diambil sebagai pengajaran dan iktibar oleh generasi muda masa kini.

“Kita tidak hanya mahu menambah kuantiti penglibatan wanita tetapi kualiti dan kredibiliti seseorang wanita itu juga perlu dititikberatkan. Diharapkan Muslimat PAS dan ahli-ahli politik wanita yang lain boleh meningkatkan lagi prestasi mereka dalam kepimpinan masyarakat.

“Sokongan dan dorongan dari barisan kepimpinan utama parti-parti itu sendiri amat perlu demi memperkasakan peranan wanita khususnya dalam aspek kepimpinan politik,” ujarnya membangkitkan motivasi.

Beliau berucap demikian ketika menyampaikan Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia pada Muktamar Tahunan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-60 di Hotel Premiera, Menara MARA, di sini sebentar tadi.

Terangnya, bakat kepimpinan perlu diasah melalui seminar, bengkel dan latihan strategik yang terancang kemas dan berterusan bagi membentuk kriteria kepimpinan berwibawa dan efektif disamping mencapai kualiti kepimpinan diinginkan.

Selain itu jelasnya, garis panduan yang sesuai dan praktikal bagi menceburi dan melibatkan diri dalam kepimpinan politik harus dirangka secara sistematik dan terarah supaya tanggungjawab hakiki mereka sebagai ibu dan isteri tidak diabaikan.

“Islam mengangkat dan memuliakan martabat wanita dalam pelbagai ruang dan cabang kehidupan. Sekecil-kecil peranan dalam rumah tangga sehingga penglibatan pada peringkat urusan kepimpinan politik serta pembangunan negara.

“Tidak dapat dinafikan bahawa sikap sesetengah wanita yang kurang yakin di atas kemampuan mereka sendiri untuk memimpin menjadi cabaran utama yang perlu ditangani oleh Muslimat PAS.

“Telah sampai masanya Muslimat PAS perlu memperlihatkan keberanian dan keterampilan mereka sebagai pemimpin yang berwibawa dalam kalangan wanita Malaysia.

“Terlibat aktif dalam kancah politik sebagai anggota barisan kepimpinan utama parti serta calon-calon Pilihan Raya atau tidak kurang pentingnya sebagai petugas-petugas yang mahir dan cekap sepangjang penglibatan PAS dalam gerak kerja Pilihan Raya,” garisnya.

Beliau membawa contoh dari peranan Muslimat dalam Kerajaan Negeri Kelantan dengan berteraskan dasar “Membangun Bersama Islam” telah berjaya memartabatkan wanita dan keluarga dalam masyarakat.

Antara kejayaan tersebut kemukanya, apabila Kerajaan Negeri Kelantan mempelopori cuti bersalin bergaji selama dua bulan di mana inisiatif ini kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Persekutuan.

Kelantan juga menurutnya, merealisasikan pengasingan khidmat dandan rambut antara lelaki dan wanita, malah paling istimewa ialah cuti ihdad kematian suami selama 30 hari bergaji kepada kakitangan wanitanya.

“Usaha-usaha ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak tapi ianya adalah tuntutan akhlak dan amalan Islam.

“Dewan Muslimat PAS Malaysia meyakini bahawa apabila Islam dimartabatkan sebagai dasar dalam pemerintahan, kesejahteraan yang didambakan mampu untuk dinikmati.

“Bukan sahaja kepada wanita, malah seluruh masyarakat akan mendapat manfaatnya,” ujarnya penuh optimis. – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -