Menjejak hakikat di atas jalan dakwah

- Advertisement -

UJIAN di jalan dakwah memang wajib ada. Bak kata Almarhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat:

- Advertisement -

 “Bukan jalan dakwah namanya kalau hidupmu sentiasa tenang dan tidak dikacau orang.”

Subuh ini, saat menghabisi bacaan Yaasin, hati dilanda sebak bersangatan. Pandangan jadi berbalam tanda ada air mata bakal bercurahan. 

Pembacaan jadi sukar apabila pandangan semakin tidak jelas diganggu air yang kian memenuhi tubir mata. Akhirnya, teresak sendiri. Subhanallah. 

Sebak sebenarnya mengenangkan pertemuan pasukan penulis Akademi Bonda Nor dengan TG Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini. 

Sesi soal jawab seusai ceramah ternyata memberi ruang pada kami untuk lebih menyelami jiwa dan mengenali hati budinya. 

“Sepanjang berada di jalan dakwah, apakah saat paling down Ayah Chik pernah rasa?”

Ayah Chik tampak tenang sewaktu mula menjawabnya. Beliau mula bercerita beberapa siri perjuangan yang telah beliau lalui sejak tahun 1979. 

Di luar negara, misalnya dalam usaha mendamaikan para Mujahidin di Afghanistan. Dalam negara pula, antaranya terlibat dalam rundingan krisis Kelantan, ISA dan Memali. Kesemua itu memberikan cabaran tersendiri. 

Dan oh… saya masih ingat kes fitnah kafir-mengkafir yang sangat popular satu ketika dulu. Amanat Haji Hadi. Saya fikir, tentu Ayah Chik sekeluarga stres menerima pelbagai kecaman setelah isu tersebut diputarbelitkan. Namun, tidak. 

Bagi ulamak besar ini, ujian paling besar bukanlah yang melibatkan hentaman peribadi ke atasnya, tapi yang melibatkan keselamatan dan kebajikan orang Islam di Malaysia, tanah air kita yang tercinta!

“Paling getir, baru-baru ini. Sewaktu melihat politik negara kita sudah mula dikuasai oleh orang bukan-Islam. Itu saat paling mencemaskan bagi saya!”

Saya lihat Ayah Chik mula menahan sebak sewaktu menuturkan kata-kata tersebut. Bicaranya yang tadinya lancar, mula terhenti-henti. Mengawal sebak barangkali. Allahu Akbar. 

Saya mengerti kerisauannya. Memang saya pun masih ingat betapa beberapa ketika sebelum wabak COVID-19 menular, ada satu lagi ‘virus’ yang menyerang Malaysia. ‘Virus rampasan kuasa!’

Orang bukan-Islam terlalu lantang bersuara dan cekap mengambil alih kuasa pentadbiran negara hinggakan Lembaga Urusan Tabung Haji pun mula dikuasai mereka. Subhanallah! 

“Masa itu, saya menjalani rawatan di IJN, sedang sakit. Tapi saya tak senang duduk. Terpaksa atur pertemuan dengan Dr Mahathir, dengan pelbagai pucuk pimpinan lain agar bersatu mematahkan kemaraan DAP…”

Saya sebak! Dan inilah yang buat saya menangis pagi ini. Membayangkan Ayah Chik terpaksa meninggalkan rawatannya, mempertaruhkan nyawa dan kesihatan sendiri demi melalui pelbagai rundingan dengan beberapa pihak yang memusuhi beliau, saya teresak. 

Tentu tidak mudah! Tapi asbab ketulusan dan kesungguhan, Alhamdulillah, Allah bantu usahanya itu. Apa berlaku? Parlimen negara bergolak seketika, dan berakhir dengan kemenangan pemimpin yang punya fikrah mahu menyelamatkan Malaysia. 

“Majoriti kecil saja, tapi itu sudah cukup untuk kembali pulihkan pentadbiran negara.”

Tuan puan, 

Masih ingat betapa bahagianya kita mendapat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri? Subhanallah, Allah rezekikan Malaysia dengan seorang ‘abah’ yang cukup menjaga kebajikan negara. 

Paling ketara sewaktu dunia dilanda COVID-19. Ekonomi dunia hampir lumpuh, rakyat kehilangan kerja, semua cemas, namun kita masih mampu bernafas dengan pelbagai bantuan disalurkan! 

Ya, Malaysia diselamatkan pada masa yang tepat, dan di sebalik tabir semua ini, ada seorang lelaki tua yang begitu tulus memperjuangkannya. Ayah Chik. 

“Pendakwah sejati sanggup mengenepikan kepentingan sendiri, mempertaruhkan nyawanya, asalkan masyarakat aman dan kebajikan terpelihara.”

Allahu Akbar! Semoga kita mampu menyerap semangat Ayah Chik. Cuba mengenepikan segala macam masalah peribadi demi memfokus pada bakti dan terus menabur bakti. 

Terus berharap, mudah-mudahan semangat tersebut menjadi ikatan yang menyatukan kita dengan para Nabi dan ulamak di akhirat nanti. 

Kuatkan kami, Ya AllahLahaulawalaquwataillabillah.  

BONDA NOR 
Penulis Bestseller – HARAKAHDAILY 11/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -