Mahu wanita Muslim pacu bidang ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya wanita Muslim di negara ini menjadi peneraju utama untuk menghasilkan produk makanan halal berteraskan bahan mentah pertanian tempatan, demikian dikemukakan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Menurut beliau, peruntukan khas kewangan perlu ditambah untuk wanita berinovasi melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap bahan mentah pertanian dari pelbagai sumber supaya produk terhasil menjadi alternatif yang baik kepada pengguna.

- Advertisement -

Perkara ini diketengahkannya dalam Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-60 di Hotel Priemera, Menara MARA, di sini sebentar tadi.

“Peranan usahawan wanita untuk membangunkan ekonomi dan menawarkan peluang pekerjaan, penggunaan teknologi terkini, meluaskan pasaran produk ke peringkat antarabangsa, sewajarnya diberikan keutamaan kerana wanita Muslim khususnya sudah memilki pelbagai kepakaran dan kemahiran.

“Selain menyediakan insentif berupa bantuan kewangan, jentera dan mesin, wanita perlu diberi peluang menubuhkan koperasi wanita supaya dapat menyediakan peluang pelaburan dan menikmati keuntungan.

“Wanita juga sebagai pengurus kewangan dalam rumah tangga sewajarnya mendapat pendidikan kepenggunaan untuk menjadi pengguna yang bijak berbelanja ketika perlu, mengelakkan berlaku pemborosan dan pembaziran serta mengetahui hak sebagai pengguna supaya rumah tangga lebih barakah.

Dalam situasi norma baharu hari ini, wanita yang berniaga dan terlibat sebagai ejen ekonomi dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergelut dengan cabaran dan menghadapi situasi sukar kerana pendapatan hidup mereka sangat terjejas,” ujarnya.

Beliau juga mengemukakan alternatif dapat disediakan bagi membantu golongan ini, antaranya sistem pemasaran yang berkesan dan efisien melalui penggunaan teknologi digital, iaitu berniaga secara dalam talian untuj diterokai dan digalakkan.

Juga cadangnya, penyediaan khidmat penghantaran produk terus ke rumah pelanggan dan pengguna perlu diselaraskan untuk memudahkan dan melancarkan urusan perniagaan, selain bantuan promosi ditingkatkan supaya produk dapat dikenali secara meluas.

“Gerak kerja membudayakan wanita supaya bekerja dari rumah juga merupakan satu alternatif terbaik. Norma baharu ini telah memberikan pengalaman baharu dalam urusan ekonomi. Perkembangan teknologi yang semakin canggih dewasa kini membolehkan produk dijual secara online atau dalam talian.

“Manakala urusniaga dan pembayaran dalam E-Dagang dan E-Perbankan menjadi satu fenomena baharu. Perniagaan dalam talian kini semakin membentuk satu jalur lebar bagi menambah sumber pendapatan keluarga dan dapat dimanfaatkan sebaiknya,” ujar beliau.

Beliau dalam ucapannya itu terdahulu menyatakan betapa nama Ummul Mukminin Saidatina Khadijah binti Khuwailid R.A tidak dapat dipisahkan apabila menyebut penglibatan kaum wanita dalam bidang ekonomi.

Menurutnya, penguasaan Khadijah R.A dalam perniagaan bukan sahaja menempatkan dirinya sebagai seorang wanita korporat berjaya, dikenali dan disegani, malah telah melakar sejarah yang harum sebagai seorang isteri kepada Rasulullah S.A.W

Terangnya, Khadijah telah mengorbankan seluruh jiwa raganya untuk perjuangan Islam pada peringkat awal kenabian dengan timbunan harta dimilikinya pula tidak tinggal sesisa pun kecuali digunakan untuk memacu perjuangan Islam.

“Muslimat PAS menyedari bahawa peluang untuk membina wanita profesional dalam bidang pengurusan kewangan berkemahiran, pengeluar produk berwawasan dan berdaya saing dalam bidang ekonomi boleh dicapai jika wanita diberi keyakinan dan kepercayaan untuk terlibat 30 peratus sebagai pembuat dasar ekonomi negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -