Konsep wala’ yang mengukuhkan organisasi

ADIK-adik dan anak-anak Abnaa’ul Harakah. Antara perbezaan PAS ini dengan parti-parti lain yang ada ialah konsep wala’ yang diamalkan dalam PAS. Konsep wala’ inilah antara tunjang-tunjang penting yang mengukuhkan PAS sejak dahulu hingga kini.

Perlu diingat… konsep wala’ yang diamalkan oleh PAS bukan ciptaan pemimpin untuk mengukuhkan kedudukan mereka di dalam parti atau jamaah. Sebagaimana rakyat Mesir dipaksa taat kepada Firaun satu masa dahulu. Tetapi konsep wala’ ini adalah perintah Allah dan Rasul.

Advertisement

Firman Allah S.W.T: 

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَوَلَّوۡا۟ عَنۡهُ وَأَنتُمۡ تَسۡمَعُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya).”

[al-Anfal: 20]

Sabda Rasulullah S.A.W:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ

صحيح البخاري , كتاب الأحكام , باب السمع والطاعة للإمام ما لم تكن معصية , 

“Daripada Abdullah R.A, daripada Nabi S.A.W bersabda: “Mendengar dan mentaati (Pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan mentaati.”

(Mutta faqun Alaihy, Hadith Riwayat al-Bukhari: 7144, Muslim: 1839, Abu Dawud: 2626, At-Tirmizi: 1707)

PAS telah menghadapi berbagai bentuk gelombang sepanjang pelayarannya di lautan perjuangan ini. Namun PAS terus gagah membelah badai berbekalkan kekuatan taah dan wala’ yang diasuh kepada ahli-ahli PAS. Kedua-dua sifat tersebut menjadi pengukuh ikatan antara ahli dan pimpinan sekali gus mengukuhkan PAS. Hakikat ini sangat dicemburui oleh musuh-musuh PAS, sehingga mereka sering memperolok-olokkan sifat wala’ yang diamalkan oleh PAS. Kononnya wala’ adalah doktrin untuk memperbodohkan ahli agar taat kepada pimpinan secara membabi buta. Ya… mereka akan terus berusaha merungkaikan ikatan wala’ itu untuk akhirnya mereka dapat saksikan berlakunya ‘perang saudara’ dalam PAS dan akhirnya menghancurkan PAS.

Adik-adik dan anak-anak serta teman-teman yang dikasihi kerana Allah.

Pertahankan parti ini, pertahankan semua konsep syarie yang diamalkan dalam PAS selama ini. Jangan terikut-ikut dengan sikap dan pendirian parti-parti Sekular yang lain. Merombak ketaatan dan wala’ kepada pemimpin dalam perkara yang tidak mendurhakai Allah dan Rasul adalah sebuah pelanggaran terhadap perintah Allah dan Rasul.

Jangan gopoh dalam perjalanan perjuangan ini. Pandanglah jauh ke hadapan sejauh perjalanan dakwah yang tidak berpenghujung. Tugas kita ialah membaja, menyiram dan menjaga pokok dengan sebaiknya. Adapun yang mengeluarkan buah itu adalah urusan Allah. Sampai waktu dan masa ia akan masak dan akan gugur di hadapan kita. 

Ahli boleh memberi pandangan dalam apa jua isu dalam jamaah dan parti demi kebaikan bersama. Namun apabila pimpinan dan jamaah sudah membuat keputusan maka wala’ dan taatlah. Biarlah kita melangkah mengikut mata tangga yang ada. Kerana perjuangan perlukan kesabaran dan menelusuri SunnatuLlah. Tidak ada lampu aladin dalam jihad yang mulia ini. Yakinlah kita sebenarnya semakin menghampiri kemenangan yang sebenar. Ambillah iktibar dari Perjanjian Hudaibiyyah yang kelihatannya mengalah tetapi perjanjian itulah yang menjadi gerbang terbukanya Fathul Makkah.

Dalam isu pembahagian kerusi PRN Sabah. Suka saya ingatkan sahabat-sahabat agar berpegang teguh kepada amalan taah dan wala’ yang telah kita hadamkan dalam jamaah ini. Jangan biarkan musuh mengharu birukan kita. Sedikit itu jauh lebih baik dari tiada langsung. PAS adalah parti dakwah bukan sekadar parti politik. Kerana itu PAS tidak kedekut dalam memberi dan tidak tamak dalam meminta. Insya-Allah sayap PAS akan terus melebar dalam negara ini. Keupayaan Menteri-menteri PAS,walau tidak ramai dalam melaksanakan tugasan dan amanah dilihat oleh rakyat di semua peringkat. Sekali gus akan menanamkan keyakinan mereka kepada PAS. 

Akhirnya marilah kita terus bekerja. Rapatkan saff jamaah. Pedulikan bisikan yang akan melemahkan kita. Percayalah setiap inci kerja kita itu adalah jihad dan diberikan pahala oleh Allah. Ingat wahai adik-adik dan anak-anak, jangan ditebang pokok kerana inginkan buahnya, dan jangan dipetik buah sebelum masaknya.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/9/2020