Komitmen Muslimat di persada negara dan antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muslimat perlu berperanan dan bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat dan pendedahan mengenai isu-isu dalam dan luar negara bagi memahami dan menangani isu-isu masyarakat tempatan dan antarabangsa.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, Muslimat juga perlu menyumbang kepada kerja sosial dan kemasyarakatan dalam mahupun luar negara berdasarkan konsep amar ma’ruf dan nahi mungkar.

“Muslimat juga perlu memainkan peranan untuk mencari, menerima dan bertanggungjawab menyampaikan semua jenis maklumat dan idea melalui pelbagai saluran. Inilah jalan dakwah dalam dunia Revolusi Perindustrian 4.0 di mana semua maklumat hanya dapat diakses melalui hujung jari sahaja.

“Namun begitu, menjadi tanggungjawab Muslimat untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang benar dengan memastikan kesahihannya terlebih dahulu kerana maklumat yang palsu, jika disebarkan, boleh menjadi mudarat yang besar dan barah yang parah dalam masyarakat.

“Islam sangat mementingkan keabsahan maklumat sebelum disebarkan,” ujarnya dalam Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-60 di Hotel Premiera, Menara MARA, di sini sebentar tadi.

Beliau turut menegaskan pentingnya penguasaan siasiyah (political will) sebagai wasilah dakwah yang lebih berkesan di mana pelbagai usaha dakwah menerusi pendekatan sesuai dengan umat dakwah dan umat ijabah.

Muslimat terangnya, meletakkan pemikiran yang optimis untuk mendekati setiap lapisan golongan sama ada penduduk bandar, pinggir bandar, masyarakat desa, FELDA mahupun Orang Asal.

“Manakala di peringkat antarabangsa pula, Muslimat telah turut serta dalam pelbagai misi kemanusiaan sama ada di rantau Asia Tenggara mahupun Benua lain.

“Maka dengan itu, teruskanlah usaha-usaha memberikan bantuan secara fizikal mahupun material kepada saudara-saudara kita yang memerlukan di seluruh pelosok dunia seperti Palestin, Myanmar, Syria, Yaman dan Uighur.

“Namun begitu, janganlah kita lupa untuk membangkitkan kesedaran dalam diri ahli keluarga kita tentang tanggungjawab antara sesama muslim tidak kira di dalam dan luar negara,” ujarnya.

Menurut beliau, betapa beratnya amanah sebagai kerajaan setelah meraih kemenangan dengan berhadapan ujian-ujian kemenangan dalam bentuk kebendaan dan keselesaan hidup yang turut menjadi kebimbangan baginda Rasulullah S.A.W

Sehubungan itu peringatnya, perlulah sentiasa hindari dan menjauhi segala sifat hubb ad-dunia (cintakan dunia) apabila sudah berkuasa serta takutkan kematian yang akan datang pada bila-bila masa sahaja yang ditetapkan Allah S.W.T.

“Sehubungan dengan itu, jati diri pejuang Islam mesti deperkasakan menerusi agenda membangunkan Muslimat ‘AKIFI, menyahut cabaran menjadi jentera parti 12K, sehingga menjadi qudwah dalam dakwah dan siyasah hasil tarbiyah yang berterusan yang disediakan oleh parti.

“Cukuplah saya sudahi muhasabah ini dengan satu firman Allah S.W.T dalam surah as-Saff ayat 2-3 sebagai peringatan atau amaran kepada kita semua ahli Muslimat khususnya dan PAS keseluruhannya,” ujarnya membacakan kalamullah itu. – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -