Jangan dedah maklumat sulit dalam sidang video

CYBERJAYA: Maklumat yang dikategorikan sebagai sulit tidak seharusnya didedahkan ketika persidangan video, termasuk oleh pengguna dalam kalangan agensi kerajaan bagi mengelak kejadian curi data.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Rabin Basir berkata perbincangan melalui persidangan video, yang menjadi platform perhubungan penting terutama ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Maklumat sulit jika tersebar boleh menyebabkan masalah keselamatan… semua pihak perlu berhati-hati,” katanya sebagai merujuk kepada risiko penggunaan sidang video, ketika ditemui media selepas sesi taklimat sempena pelancaran Strategi Keselamatan Siber Negara (MCSS) 2020-2024, di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata MKN melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan sentiasa memaklumkan mengenai ancaman siber baharu kepada agensi kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NACSA Mohd Shah Nuri Md Zain berkata pihak yang berhasrat menggunakan persidangan video, perlu memilih aplikasi yang mempunyai tahap keselamatan tinggi.
 
“Jika gunakan aplikasi sidang video percuma, pastikan kata laluan diletakkan dan jangan biarkan ia kosong kerana orang lain juga boleh menonton sidang video itu,” katanya.

Mengenai MCSS 2020-2024, Mohd Shah berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan melancarkan pelan strategi itu pada 24 September ini, yang mempunyai banyak program kesedaran berkaitan ancaman siber. – BERNAMA