Calonkan Muslimat di kerusi majoriti pengundi wanita

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penempatan calon Muslimat bertanding di kawasan strategik dan mempunyai majoriti pengundi wanita diharap dapat membangkitkan semangat juang yang gigih serta peluang cerah untuk menang.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, Muslimat sedia berkhidmat kepada pengundi dan masyarakat sekitarnya dengan kini telah bersiapsiaga untuk menghadapi PRU15.

“DMPM meletakkan kepercayaan kepada pucuk pimpinan PAS bagi menentukan kedudukan dan jumlah calon-calon Muslimat yang sewajarnya pada PRU-15 akan datang. Para petugas Muslimat kita telah siap siaga untuk melaksanakan peranan sebagai jentera-jentera Pilihan Raya.

“Tanpa membuang masa mereka akan melaksanakan arahan dan mematuhi segala tuntutan gerak kerja yang telah dirancang bagi meraih kemenangan.

“Tidak sedikit para Muslimat terpaksa berkorban untuk mengimbangkan peranan mereka di rumah dengan kerjasama erat ahli keluarga dan keizinan ketua keluarga terus cekal turun padang bersama-sama petugas lain menyantuni para pengundi,” ujarnya.

Beliau berucap menyampaikan Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-60 di Hotel Premiera, Menara MARA, di sini sebentar tadi.

“Muslimat pada hari ini mesti mewarisi akhlak Rasulullah S.A.W sebagai pemikat untuk memenangi hati rakyat dalam segenap pendekatan yang dilaksanakan.

“Kesemua jentera kempen Muslimat perlulah mendekati dan mengajak pengundi-pengundi untuk menyokong calon kita dengan penuh sabar dan kata-kata sopan berhikmah serta mesra.

“Hindari provokasi musuh politik dan halangan yang menganggu gerak kerja kita,” ujarnya.

Menyerlahkan kesediaan itu, Muslimat katanya, sudah tidak asing dari berperanan membantu masyarakat sekitar walau di mana sahaja mereka berada, selain keprihatinan dan jasa bakti mereka dalam urusan dakwah dan kebajikan.

Antaranya kemuka beliau, program-program menyantuni lapisan masyarakat terutama MOSWAY; Miskin, OKU, Sakit, Warga Emas, Armalah (ibu tunggal) dan Yatim yang berjalan setiap masa dan bukannya bermusim.

“Lajnah-lajnah yang berkaitan di peringkat kawasan dan cawangan digerakkan dengan kerjasama strategik sayap Muslimat Muda; Briged Muslimat, Ameerah dan Nusaibah serta beberapa NGO-NGO yang mesra PAS.

“Terutama dalam aktiviti-aktiviti bantuan bencana seperti banjir, kebakaran, ribut taufan, tanah runtuh dan seumpamanya,” jelas beliau.

Dalam menzahirkan komitmen anggotanya, Ustazah Nuridah menegaskan bahawa mereka akan mengatur strategi dan berkempen PRN Sabah sebaik sahaja Muktamar PAS Pusat di PUTIK, Kelantan selesai.

Terang beliau, anggotanya akan kembali cergas turun padang ke medan juang bersama rakan-rakan anggota Perikatan Nasional dengan gigih berusaha bagi memenangkan calon yang telah ditentukan.

In sha Allah dengan izin-Nya, Sabah akan menyaksikan kemenangan MN dan PN membawa kesejahteraan, semangat perpaduan, keadilan dan kemakmuran yang sangat bermakna buat Malaysia khususnya bagi rakyat negeri Sabah,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh peranan dan penglibatan Muslimat Muda yang berjiwa segar dan tangkas serta prihatin terhadap masyarakat sekeliling di mana hendaklah digembleng bersama-sama turun untuk ke medan.

Terutama katanya, dalam menyantuni kelompok pengundi-pengundi wanita muda dengan pendekatan yang berkesan dan akhlak terpuji dalam menggerakkan kesedaran bahawa kepentingan pengaruh sokongan politik mereka perlu dipupuk.

Iaitulah menurutnya, dengan memastikan mereka mendaftarkan diri sebagai pemilih, kerana wanita muda dan pengundi muda di Malaysia ini mencatat lebih kurang 40 peratus dari keseluruhan warganegara.

“Peratusan ini besar jika dikira sekali pengundi-pengundi baru 18 tahun, ‘first time voters’. Di sesetengah kawasan Parlimen mereka ini adalah kelompok undi penentu dalam proses kemenangan calon-calon pilihan raya.

“Justeru, dalam merangka pelan strategik gerak kerja bagi kemenangan PAS, peranan Muslimat yang mukminah perlu digembleng secara optimum.

“DMPM telah merangka pelan strategik yang anjal dengan melibatkan percambahan minda pemegang taruh serta membina peluang-peluang yang realistik dalam proses dan latihan gerak kerja Pilihan Raya.

“Tidak dipinggirkan juga termasuk keperluan anjakan paradigma di atas pendekatan dan sikap yang akan membuahkan pencapaian yang berkesan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -