945 belia diisytihar muflis tahun ini

KUALA LUMPUR: Seramai 945 golongan belia yang berumur antara 18 hingga 35 tahun telah diisytihar bankrap bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Shabudin Yahaya.   

Menurutnya, mengikut rekod di Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) terdapat lebih 100 kes kebankrapan yang direkodkan melibatkan mereka yang berumur 31 hingga 35 tahun.

“Bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, Mdl melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis seperti program bersama masyarakat dan Mdl Prihatin.

Advertisement

“Ia bagi menyampaikan maklumat, memberikan pendidikan dan mewujudkan kesedaran kepada orang ramai khususnya belia supaya perkara itu dapat ditangani di peringkat awal lagi. Ceramah, taklimat dan program kesedaran itu juga melibatkan agensi awam dan swasta, serta pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara semalam bagi menjawab soalan yang dikemukakan Senator Datuk Paul Igai mengenai jumlah belia yang disenaraikan sebagai bankrap dan langkah kerajaan dalam membantu mereka, yang berkemungkinan bankrap disebabkan COVID-19.
 
Selain itu, katanya kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengadakan program untuk memberi kesedaran tentang isu muflis.

Beliau berkata program itu melibatkan perancangan kewangan kepada semua golongan bagi membolehkan mereka yang terlibat dapat menangani masalah pengurusan kewangan di peringkat prakebankrapan.

“Program ini juga dapat membantu golongan belia untuk berbelanja dengan berhemah dan bijak dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan kemuflisan disebabkan COVID-19,” katanya. – BERNAMA