Usaha tanah terbiar VS ceroboh tanah secara haram

- Advertisement -

ALLAH S.W.T menciptakan manusia dan tinggal di atas muka bumi ini dengan beberapa tujuan utama. Antaranya ialah supaya mengenal Allah dan beribadat kepada-Nya. Di sana ada juga beberapa tujuan dan maqasid daripada penciptaan manusia yang penting untuk difahami oleh kita semua. Antaranya ialah memakmurkan bumi yang menjadi sebahagian daripada faktor penting kelangsungan kehidupan manusia yang tingga di atas muka bumi ini. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

 هُوَ اَنۡشَاَكُمۡ مِّنَ الۡاَرۡضِ وَاسۡتَعۡمَرَكُمۡ فِيۡهَا

”Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

(Hud: 61)

Oleh kerana itu, menjadi tugas dan tanggungjawab manusia memakmurkan bumi ini supaya kehidupan mereka selari dengan maqasid yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Ihya’ Al Mawat (mengusahakan tanah terbiar)

Islam menganjurkan umatnya mengusahakan tanah yang terbiar supaya mereka mencapai maqasid yang ditetapkan oleh Allah tadi, iaitu memakmurkan bumi. Konsep ini disebut dalam istilah feqah sebagai Ihya’ Al Mawat (إحياء الموات  ) yang bermaksud mengusahakan tanah terbiar yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun. Bahkan dalam mazhab Syafie berpendapat bahawa sunat hukumnya Ihya’ Al Mawat ini.

Sabda Nabi S.A.W:

مَن أحيا أرضًا ميتةً فله بها أجرٌ ، وما أكله العوافي منها فهو له صدقةٌ

“Barangsiapa yang menghidupkan tanah terbiar maka dia mendapat pahala, dan apa yang dimakan oleh pencari rezeki (sama ada manusia atau haiwan) dari tanahnya maka dia mendapat pahala sedekah.”

(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Adakah perlu izin pemerintah?

Sesiapa yang ingin mengusahakan tanah terbiar yang tidak dimiliki sesiapa, adakah perlu mendapat izin pemerintah? Atau cukup sekadar mengusahakannya dan kemudian terus menjadi miliknya? Perkara ini khilaf di kalangan ulamak.

Mazhab Syafie dan majoriti fuqaha’ berpendapat seseorang itu tidak perlu meminta izin pemerintah dan apabila dia telah meneroka dan mengusahakan sebidang tanah yang tidak bertuan, dan bukan tanah yang digunakan untuk kemudahan awam, maka tanah itu terus menjadi miliknya.

Mazhab Hanafi pula berpandangan sebaliknya dengan meletakkan syarat keizinan pemerintah untuk menerokai dan mengusahakannya.

Perkara khilaf seperti ini mestilah diserahkan kepada pemerintah untuk menilai dan memutuskan mana satu pendekatan yang digunakan. Ia selaras dengan kaedah feqah yang mengatakan:

حكم الحاكم يرفع الخلاف

“Keputusan pemerintah mengangkat khilaf.”

Iaitu tidak boleh lagi berkhilaf setelah suatu keputusan diambil dan ditetapkan oleh pemerintah, selagi mana ia tidak bercanggah dengan syara’.

Melihat kepada realiti kita di Malaysia ini pihak pemerintah telah memutuskan bahawa sesiapa sahaja yang ingin mengusahakan tanah, mestilah mendapat keizinan daripada pemerintah. Maka ketetapan itu wajiblah ditaati, apatah lagi ia termasuk dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syara’.

Bagaimana jika tanah diceroboh dan diusahakan secara haram?

Hukumnya adalah haram dan ini dijelaskan dalam Hadis Nabi S.A.W dengan sabdanya:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيْتَةً فَهِيَ لَهُ، وَلَيْسَ لِعِرْقٍ ظَالِمٍ حَقٌّ

”Barangsiapa yang mengusahakan tanah terbiar maka ia menjadi miliknya dan orang yang menanam pokok (atau mengusahakan) secara zalim tidak mempunyai hak.”

(Hadis Shahih Riwayat Tirmizi, Abu Daud dan An Nasa’i)

Para ulamak bersepakat bahawa sebarang usaha secara tidak sah, sama ada menanam atau membuat binaan, tidak akan menjadikan tanah tersebut sebagai milik pengusaha itu. Urwah Bin Zubair meriwayatkan:

أن رجلين اختصما إلى رسول الله ، غرس أحدهما نخلًا في أرض الآخر ، فقضى لصاحب الأرض بأرضه ، وأمر صاحب النخل أن يخرج نخله منها ، قال : فلقد رأيتها وإنها لتضرب أصولها بالفؤوس ، وإنها لنخل عم ( أي تامة ) حتى أخرجت منها

“Dua orang lelaki mengadu kepada Rasulullah S.A.W yang mana salah seorang daripada mereka menanam pokok kurma di atas tanah seorang lagi. Lalu Baginda memutuskan bahawa tanah itu kekal milik tuannya dan memerintahkan pemilik pokok itu mengeluarkan pokok kurma dari tanah tersebut. Kata Urwah: Aku menyaksikannya dan pokok itu dicabut dari akarnya dengan kapak dalam keadaan pokok itu sudah matang sehinggalah ianya dikeluarkan dari tanah tersebut.” 

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Jelas daripada Hadis ini bahawa usaha secara tidak sah di atas tanah orang lain tidak sekali-sekali menyebabkan tanah itu menjadi milik si pengusaha. Bahkan mengikut Mazhab Syafie pengusaha secara haram itu boleh dipaksa mengeluarkan pokoknya atau binaannya dari tanah yang diceroboh dan si pengusaha itulah yang wajib menanggung kos mengeluarkan pokok atau binaannya itu.

Tanah yang tidak boleh diceroboh dan diusahakan ialah tanah yang dimiliki orang lain sama ada Muslim atau nonMuslim, atau tanah yang menjadi kawasan yang digunakan sebagai kemudahan awam, ataupun tanah yang telah diwartakan atau digazetkan oleh kerajaan sebagai tanah yang tidak boleh diceroboh demi menjaga kepentingan awam. Contohnya seperti hutan simpan, tanah rizab Melayu dan lain-lain perkara yang ditetapkan oleh pemerintah untuk maslahah rakyat dan negara.

Kesimpulannya

Mengusahakan tanah sama ada untuk tujuan pertanian, pembinaan, industri, menggali telaga atau saliran air dan yang seumpamanya yang boleh membawa manfaat adalah digalakkan di dalam Islam. 

(1) Sesiapa yang mengusahakan tanah mengikut syarat-syaratnya maka dia berhak memilikinya.

(2) Sesiapa yang mengusahakan tanah secara haram dan salah maka dia tidak berhak memilikinya bahkan mestilah dia menanggung kos mengosongkan tanah tersebut atau mengeluarkan barangannya dari tanah itu. 

(3) Pemerintah berhak menghalang dan menyekat daripada diusahakan tanah tertentu atau mestilah meminta izin sebelum mengusahakan mana-mana tanah demi maslahah umum.

(4) Pemerintah juga berhak menghukum orang yang melanggar undang-undang tanah supaya menjadi pengajaran dan mengelakkan kerugian bagi negara.

(5) Pemerintah juga dalam masa yang sama mestilah memudahkan urusan rakyat mendapatkan tanah bagi yang berhak kerana pemerintah adalah pemegang amanah yang mesti diserahkan kepada ahlinya.

YB MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 10/9/2020

- Advertisement -