Perwakilan ikuti muktamar secara ‘online’

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Badan Perhubungan PAS setiap negeri di Malaysia akan menimba pengalaman pertama mengikuti muktamar PAS Pusat kali ini secara atas talian.

Berikutan itu PAS Kedah kini rancak membuat persiapan untuk menyertai Muktamar PAS Pusat kali ke-66 secara atas talian.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah IT PAS Kedah Azhar Ibrahim berkata, kesemua urusan teknikal sedang disiapkan untuk membolehkan perwakilan Kedah mengikuti muktamar dari Dewan Besar Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Kota Bharu pada Ahad ini.

Katanya, persiapan teknikal di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut hampir 100 peratus siap.

“Ini pengalaman kali pertama kita menyertai muktamar secara atas talian. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan teknikal di sini hari ini.

Muktamar PAS kali ini dihadiri bilangan perwakilan yang terhad sebagai mematuhi syarat ditetapkan kerajaan berikutan wabak Covid-19 sekarang.

Sebelum acara kemuncak muktamar pada Ahad, Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat diadakan sehari sebelum itu.

Muktamar Dewan Ulamak akan diadakan di Markas Dewan Ulamak PAS Kelantan (Madu) di Labok Machang, Muktamar Dewan Pemuda pula dilangsungkan di Putik.

Manakala Muktamar Dewan Muslimat diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada hari sama.

Azhar juga berkata, perwakilan dari Perlis turut mengikuti muktamar di Kompleks PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 10/9/2020

- Advertisement -