Penyakit jantung: UiTM dan IJN jalin kerjasama

- Advertisement -

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Jantung Negara (IJN) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama dalam penyelidikan pencegahan penyakit jantung yang merupakan antara pembunuh utama rakyat negara ini.

MoA itu ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim manakala IJN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Menurut Mohd Azraai menerusi kerjasama antara UiTM dan IJN melalui Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik (I-PPerForM) itu, kedua-dua pihak akan melakukan kajian berkaitan serangan jantung, menerbitkan hasil kajian di samping bekerjasama dalam pembangunan sumber manusia dan latihan.

- Advertisement -

“Menerusi kerjasama ini beberapa pelajar UiTM yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah akan ditempatkan di IJN bagi tujuan latihan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan di sini semalam.

Turut hadir Pengarah I-PPerForM, Prof Datin Dr Hapizah Md Nawawi dan Perunding Kanan Kardiologi IJN, Datuk Seri Dr Azhari Rosman.
 
Sementara itu, Dr Aizai Azan berkata pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan UiTM dalam melakukan kajian dan penyelidikan dalam pencegahan serangan jantung.

“Seperti sedia maklum, serangan jantung merupakan antara punca utama kematian di negara ini, difahamkan satu daripada empat kematian adalah berpunca daripada penyakit jantung dan setiap hari dianggar seramai 50 orang mengalami serangan jantung,” katanya.

Tambahnya angka berkenaan menunjukkan bahawa kajian yang menyeluruh masih perlu dilakukan bagi mengenal pasti langkah terbaik bagi mencegah penyakit jantung dan strategi IJN pada masa kini adalah melakukan kajian berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi.

“Dengan cara ini kedua-dua pihak akan saling melengkapi antara satu sama lain dan akan membawa kepada satu hasil kajian yang lebih bermakna,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -