MB Selangor digesa bertanggungjawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari digesa bertanggungjawab terhadap kenyataan beliau mengenai Jabatan Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pencemaran air di negeri itu meskipun selepas kerajaan negeri selesai siasat pada April lalu.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata Amirudin harus meletak jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya kenyataan beliau itu satu pembohongan.

- Advertisement -

“Kalau perkara ini (kenyataan beliau) benar-benar berlaku (pembohongan) beliau patut meletakkan jawatan kerana menipu rakyat Selangor.

“Sudah tentu kami sebagai anak jati Selangor sangat kecewa,” katanya kepada HarakahDaily.

Terdahulu, dalam satu kenyataan yang disiarkan sebuah portal berita, Amirudin berkata bahawa tiada tindakan diambil Jabatan Peguam Negara selepas kerajaan negeri selesai siasat kes pencemaran air pada April lalu.

Namun, perkara itu dinafikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang mengatakan bahawa sehingga kini Jabatan Peguam Negara tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor. – HARAKAHDAILY 10/9/2020

- Advertisement -