Heret penceroboh tanah ke muka pengadilan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pusat dan negeri Pahang hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohamad Shahid Ismail bagi mendapatkan maklumat secara tepat berkaitan isu pencerobohan haram tanah kerajaan negeri.

Pengerusi UMMAH Pahang Ustaz Roslan Md Esa berkata, pihaknya tetap dengan pendirian bahawa pencerobohan tanah secara haram ini adalah tindakan yang menyalahi undang-undang dan pihak terlibat sepatutnya dihadapkan ke muka pengadilan.

- Advertisement -

“UMMAH melalui himpunan tersebut (Himpunan anti pencerobohan tanah haram dan penentang tulisan Jawi) telah menyatakan secara jelas bahawa pencerobohan tanah haram ini adalah tindakan yang menyalahi undang-undang dan sepatutnya mereka dihadapkan ke muka pengadilan.

“Apatah lagi pencerobohan tersebut telah menjangkau tempoh 40-50 tahun dengan keluasan 11,000 ekar. Selain, mengutuk sebarang bentuk manipulasi oleh pemimpin DAP yang diibarat ‘menangguk di air keruh’ apabila jelas dilihat melalui kenyataan media mereka secara terang-terangan membela penceroboh tanah haram ini.

“Kononnya selama ini mereka memperjuangkan keadilan dan menegakkan undang-undang. Namun dalam isu ini, merekalah yang menjadi penghasut untuk langgar undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi UMMAH Negeri Pahang, Ustaz Roslan Md Esa bersama Pengerusi UMMAH Pusat, Mohd Zai Mustafa, wakil Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz), serta Sekretariat Anak Pahang Perantauan (SAPP).

Sementara itu, UMMAH memberi amaran kepada semua pihak sama ada orang Melayu atau bukan Melayu agar tidak sesekali menyokong atau bersengkongkol dengan pendirian parti DAP.

Dalam pada itu, UMMAH juga menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak sebagaimana laporan polis yang telah dibuat oleh ramai pihak.

“Andai sekiranya, ada mana-mana pemimpin atau pihak yang terlibat dengan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan negeri Pahang sebagaimana yang ditularkan di media sosial, sila hadapkan mereka ke muka pengadilan,” ujarnya lagi.- HARAKAHDAILY 10/9/2020

- Advertisement -