BMF: Keutamaan jihad harta

- Advertisement -

TAK sangka, rupa-rupanya produk Muslim di Malaysia cukup banyak. Tapi kenapa susah sangat nak nampak di pasaran? Kerana kurang sokongan daripada kita. Kenapa kita kurang sokong? Sebab kita sendiri tak tahu produk itu wujud!

Saat pertama kali masuk One Stop Centre Muslim Shop ini, baru tahu rupanya banyak produk keluaran Muslim. Boleh katakan semua keperluan harian kita ada. Makanan, penjagaan diri, keperluan rumah. Cukup.

Apa khabar #BMF?

Saya fikir ini masalah kenapa BMF tak sehangat dulu. Bukan kita tak mahu beli produk Muslim, tapi kita payah nak cari. Kedai runcit kecil tak ada. Kedai tepi-tepi jalan tak ada. Shopping complex sangat minima.

Kita pula tak banyak masa nak google satu-satu barang untuk cari keluaran Muslim. Kalau boleh nak satu tempat itu semua ada.

- Advertisement -

Masalahnya kedai yang jual keluaran Muslim ini kebanyakannya kecil dan tak banyak pula. Mana kita ada masa nak pergi dua tiga kedai setiap kali nak cari keperluan harian.

Murah, mudah, popular

Faktor utama yang dorong kita untuk membeli

(1) Murah.

(2) Mudah didapati.

(3) Popular.

3 perkara ini ada pada jenama-jenama keluaran non-Muslim. Walaupun kualiti dan kandungannya meragukan, tapi kita beli juga atas 3 faktor ini. Walaupun keluaran Muslim lebih berkualiti dan selamat, kita tak guna juga atas kekurangan faktor di atas.

Nak selesaikannya perlu komitmen banyak pihak. Tak boleh salahkan pengguna sahaja yang tak beli. Tak boleh juga salahkan peniaga sahaja yang jual mahal. Alhamdulillah, pemimpin negara kita kebanyakannya Muslim. Perlu sokongan daripada mereka.

Supply chain

Lengkapkan rantaian penawaran (supply chain). Daripada bahan mentah -> pengilang -> pemborong -> pengedar -> peruncit -> pengguna. Di Malaysia, kita sudah ramai pengedar, peruncit dan pengguna. Tapi kita masih kurang bekalan bahan mentah, kilang dan pemborong Muslim.

Model feedlot seperti NFC dulu sangat baik untuk bekalan bahan mentah. Sediakan tempat yang lengkap dengan fasiliti penternakan, panggil penternak kecil kumpulkan ternakan di situ. Ringan beban penternak, mudah pengilang mencari bekalan.

Inisiatif Kerajaan Terengganu nak usahakan tanah milik berstatus pertanian yang terbiar sangat baik. Tanah pertanian rakyat banyak, tapi rakyat tak mahu usahakan atas berbagai faktor. Kerajaan ambil alih dengan situasi menang-menang sangat baik. 

Memang kita kekurangan bahan pertanian walaupun kita guna hari-hari. Contoh mudah ubi kayu. Itu sumber untuk tepung kanji, tepung ubi, suhun. Tapi tiada lagi pengeluar Muslim untuk produk ini (setakat dimaklumkan).

Model sama juga boleh dibuat untuk perkilangan. Kerajaan sediakan fasiliti seperti mesin-mesin besar jutaan Ringgit, pengusaha kecil sewa dengan kadar minimum untuk guna mesin. Dari situ boleh tengok mana produk yang dapat permintaan tinggi, wujudkan skim pinjaman untuk beli mesin khusus pada mereka.

Cara ini boleh kurangkan kos pengeluaran. Automatik boleh jual dengan harga kompetitif dengan produk non-Muslimterkenal.

Promosi dan marketing

Pemerintah juga perlu bantu dari sudut promosi. Wujudkan insentif khas untuk popularkan produk mereka di entiti yang dimiliki kerajaan. TV, Radio, papan tanda, event, aplikasi maya.

Pemerintah juga boleh berikan pengurangan cukai khas buat entiti swasta yang bantu promosi produk Muslim. Cuma perhalusi agar tidak timbul isu perkauman pula.

Peruncit kecil tak berani nak ambil produk tak terkenal. Bimbang tak laku. Kalau terkenal, jangan kata peruncit Muslim, pemborong non-Muslim pun akan ambil.

Platform e-commerce untuk produk Muslim setaraf Lazada dan Shopee juga perlu diwujudkan. Trend sekarang memang orang beli shopping online sahaja.

Kena fikirkan macam mana nak naik taraf IKS sebagai industri besar. Pengusaha kita tak mampu nak bersaing atas kapasiti sendiri di pasaran yang dimonopoli syarikat gergasi.

Mereka yang pegang portfolio pertanian, industri, perdagangan, usahawan dan kerajaan tempat perlu ambil tanggungjawab ini.

Politik dan ekonomi

Kita bercakap mengenai keperluan kuasa politik negara dipegang oleh Muslim, tetapi kita tidak sedar ekonomi memainkan peranan penting dalam menentukan kuasa politik.

Antara perkara utama yang difokuskan Rasulullah usai mendirikan Kerajaan Madinah adalah ekonomi. Diwujudkan pasar berhampiran Masjid Nabawi. Diusahakan pembelian telaga untuk menghapuskan monopoli Yahudi. Itu zaman politik perang. Zaman sekarang politik damai, peranan ekonomi bertambah penting.

China yang baru garang di pentas politik antarabangsa sekarang pun setelah berpuluh tahun  membina kekuatan ekonomi. Mereka gunakan kekuatan rakyatnya yang ramai sebagai pengguna dan tenaga kerja.

Kita Muslim hampir 70 peratus di Malaysia. Tanah, tenaga kerja dan pengguna kita yang banyak. Kenapa ekonomi bukan kita yang pegang?

Akhirnya taikun-taikun besar ini yang tentukan kuasa politik tanah air. Mereka bagi dana, bagi peruntukan kepada parti politik Melayu.

Dengan duit, mereka juga boleh tentukan undang-undang sendiri. Sogok pegawai itu, bayar penguatkuasa ini, akhirnya mereka bebas berbisnes walaupun bercanggah dengan undang-undang.

Nak bebas dari semua ini, kena bebaskan ekonomi dahulu daripada kebergantungan pada taikun-taikun ini. Nak bebas, kena ada sumber sendiri. Nak ada sumber sendiri, kena bantu sesama kita.

Inilah puncanya kenapa hampir semua ayat mengenai jihad, didahulukan jihad harta berbanding jihad nyawa!

Peranan kita

Untuk tindakan segera, kita kena usaha untuk utamakan produk Muslim. Memang susah sikit nak cari. Memang agak mahal buat masa sekarang. Tapi anggaplah ia sebagai bentuk jihad ekonomi kita. Nanti bila pengeluar dah stabil, mereka boleh tingkatkan pengeluaran untuk rendahkan kos dan luaskan pasaran.

Kerajaan juga kena utamakan Muslim dalam berbelanja. Hamper hadiah dan bantuan, keperluan pejabat, pastikan produk Muslim. Bila sesi bergambar, secara tak langsung boleh bantu promosi produk kita. Penerima pun boleh tahu ada produk kita.

Inilah hasil berbincang dengan pengusaha muda One Stop Centre Muslim Shop Ustaz Aminuddin. Visinya jelas. Perlukan sokongan semua pihak yang sayangkan agama, bangsa dan negara. Boleh lihat sendiri usaha beliau. Kunjungi di Kg Losong Dato Amar, Kuala Terengganu

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 10/9/2020

- Advertisement -