27 NGO desak MB Selangor letak jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Negeri Selangor sekata mendesak supaya Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meletak jawatan.

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan NGO berkenaan turut mendesak supaya kilang-kilang yang beroperasi secara haram di negeri itu dirobohkan dengan kadar segera.

- Advertisement -

Antara NGO yang terlibat dalam kenyataan tersebut Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Selangor, Geng Ustaz, Syabab Care, Al-Azhar Care, Pertubuhan Belia Prihatin dan lain-lain.

Menurut kenyataan itu, pencemaran air yang berlaku di Sungai Selangor berpunca daripada pengoperasian kilang haram berkenaan sehingga memberi kesan kepada 1.2 juta rakyat di negeri itu.

“Tadbir urus pihak kerajaan Negeri dan PBT yang dilihat tidak telus serta bertanggungjawab sehingga kilang-kilang haram dapat beroperasi menghasilkan keuntungan jutaan ringgit.

“Sedangkan rakyat terus tertekan dengan keperluan hidup,” ujar kenyataan itu seperti dipetik daripada Facebook Sekretariat NGO Bertindak Prihatin Rakyat Selangor yang disiarkan semalam.

Terdahulu, dilaporkan bahawa terdapat 308 kilang daripada 6,000 yang berada dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) disahkan beroperasi secara haram.

Malahan, pengoperasian kilang haram ini menjadi punca pencemaran bau di Sungai Gong hingga menyebabkan bekalan air Selangor terputus sehingga memberi kesan kepada aktiviti harian rakyat negeri itu. – HARAKAHDAILY 10/9/2020

- Advertisement -