Isu pencemaran: Nasib rakyat diperjuang Istana

- Advertisement -

BEKALAN air di Lembah Kelang telah kembali normal setelah dihentikan serta merta akibat pencemaran yang dikesan di Sg Gong, Rawang yang merupakan salah satu punca air buat Loji Rawatan Air di Sg Selangor.

Akibat gangguan bekalan berkenaan jutaan rakyat khasnya di Negeri Selangor telah terjejas kehidupan dan aktiviti harian mereka.

Walaupun bekalan air telah kembali normal namun isu pencemaran punca air yang diakibatkan terutamanya oleh sikap tidak bertanggungjawab kilang-kilang yang terletak berhampiran sungai-sungai tidak selesai sehingga kini.

Kesan kecuaian atau tidak peduli mereka sesungguhnya mengakibatkan kehidupan rakyat terjejas dan ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku.

- Advertisement -

Jika semalam media arus perdana melaporkan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan tindakan tegas dan hukuman yang berat diambil terhadap mereka yang mencemarkan sungai-sungai ini, hari ini dilaporkan Tuanku Sultan Selangor pula menyuarakan murka Baginda.

Tuanku dilaporkan telah mengutus surat ke Menteri Besar Selangor menyampaikan kesal Baginda di atas kesengsaraan yang menimpa rakyat khasnya di Negeri Selangor akibat insiden pencemaran berpunca di Sg Gong itu. Tindakan tegas penguatkuasaan titah Tuanku termasuklah merobohkan kilang-kilang haram yang berhampiran tebing sungai wajar dilakukan memandangkan mereka cenderung untuk mencemarkan sungai-sungai di negeri ini.

Lazimnya Tuanku menitahkan secara terbuka sebarang perkara atau isu yang melibatkan rakyat Selangor untuk diambil perhatian dan tindakan oleh pihak berkuasa, akan tetapi tindakan mengutus surat seumpama ini jelas mencerminkan keprihatinan Tuanku yang mahu titahnya itu direkodkan, malah ia dilihat suatu isyarat kepada Menteri Besar Selangor agar beri tumpuan serius terhadap perkara ini.

Tuanku memerintahkan agar jangan ada campur tangan politik dalam kerja-kerja penguatkuasaan melibatkan isu alam sekitar dan pencemaran. Ini membuktikan aktiviti penguatkuasaan sering terbantut atau gagal apabila orang-orang politik yang punya kuasa menghalang dan campur tangan akibat kepentingan tertentu.

Isu dan kesengsaraan rakyat kini menjadi perhatian dan dipantau Istana Negara dan Istana Shah Alam. Jangan lagi perkara ini berulang dan hapuskan terus kilang-kilang haram yang tidak bertanggungjawab ini.

Pentadbiran negeri terutama Menteri Besar dan barisan EXCO-nya serta wakil-wakil rakyat dan ahli-ahli majlis, jangan lagi ambil ringan perkara ini tetapi berkerja sungguh-sungguh untuk rakyat. 

Mandat yang diberikan rakyat jangan dipermain-mainkan sehingga terjejas kehidupan mereka akibat kecuaian dan kecurangan pihak pentadbiran dan ahli-ahli politik yang berkuasa.

Rata-rata rakyat jelata menjunjung kasih atas keprihatinan dan ambil berat Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor terhadap nasib dan kebajikan kami. Semoga semua pihak yang bertanggungjawab diseret ke pengadilan dan jika sabit kesalahan dihukum seberat-beratnya.

Daulat Tuanku.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 9/9/2020

- Advertisement -