Enggan ke sekolah, anak mungkin alami tekanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Haiqal tak nak pergi sekolah. Nanti kena COVID,” bentak Haiqal yang berusia lapan tahun kepada ibunya.

Bukan sekali dua ‘drama’ Haiqal membentak enggan ke sekolah tetapi setiap kali itulah, ibunya mula tenggelam punca.

Dipujuk sudah, dimarah pun sudah dan paling menggusarkan sejak berita mengenai sekolah kembali dibuka pada 22 Julai yang hanya terhad kepada pengajaran dan pembelajaran, perilaku Haiqal juga mula berubah.

- Advertisement -

“Dia jadi pendiam. Cepat marah dan paling terkesan, berkali-kali dia tak mahu ke sekolah. Saya sendiri tak tahu nak ketawa atau bimbang dengan alasan yang diberinya – takut COVID-19,” luah Norma Arif (bukan nama sebenar).

Lebih membimbangkan, ibu berusia 35 tahun itu menjelaskan, selepas berbincang dengan guru dan mendapat khidmat kaunseling di sebuah hospital di ibu negara, Haiqal didapati tertekan dengan suasana pembelajaran baharu yang ‘ketat’ dengan prosedur operasi standard (SOP). 

Mac yang mengubah segalanya
 
Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Muhsin Ahmad Zahari menjelaskan, langkah terkini kerajaan menjadi satu cabaran bagi kanak-kanak untuk turut sama mematuhi SOP dan secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada tekanan apabila terpaksa mengikuti normal baharu. 

“Kena akui, kesihatan mental ini memang telah melanda semua golongan termasuk kanak-kanak dan paling ketara, masalah kemurungan semakin menular dalam kalangan mereka,” katanya kepada Bernama.

Bahkan tempoh lebih tiga bulan terpaksa meninggalkan kelas, guru dan rakan sedikit sebanyak memberi impak dalam membina semula hubungan itu.

Dari aspek sosial, keakraban dengan rakan-rakan di sekolah perlu dibina semula selepas tiga bulan tidak bersekolah dengan berlandaskan budaya baharu ini.

Kita bimbang kepatuhan terhadap budaya baharu akan menyebabkan mereka enggan ke sekolah di samping sudah terlalu selesa berada di rumah dalam tempoh yang panjang, jelasnya.
 
Sikap terlalu melindungi ubah tekanan
 
Jangan pula terkejut, ibu bapa yang bersifat terlalu melindungi dan bimbang terhadap anak turut mencetuskan sindrom anak enggan ke sekolah.

‘Menitipkan’ pelbagai pesanan seperti jangan itu, jangan ini. Akhirnya anak enggan ke sekolah kerana ‘terpengaruh’ dengan kebimbangan melampau ibu bapa, katanya. 

Jika sebelum ini anak enggan ke sekolah kerana takut dibuli, tidak menyiapkan kerja rumah atau takutkan guru, namun kini ia disebab takutkan virus COVID-19 dan SOP yang ditetapkan. 

Justeru, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan, mengimbangi antara perasaan bimbang dan mengongkong dalam memastikan anak tidak tertekan dan ibu bapa perlu memberi sokongan dengan berfikiran lebih rasional.

“Semuanya serba baharu dan tak pernah melalui situasi sebegini sebelum ini. Begitu juga dengan normal baharu di sekolah yang mana sistemnya baru sahaja hendak stabil selepas ditutup sejak Mac lepas. 

“Jadi tugas ibu bapa adalah memberi keyakinan bahawa jika ikut SOP, semuanya akan selamat, jangan menjadi terlalu melindungi,” katanya.
 
Anak warga asing juga terkesan
 
Tanpa disedari, sepanjang tempoh negara ‘berkurung’ turut memberi kesan bukan saja kepada anak tempatan malah pemastautin tetap terutama ekspatriat yang bekerja atau belajar di Malaysia.

“Malahan anak mereka turut terkena tempias mengalami tekanan dan mungkin lebih dari itu  memandangkan mereka berada dalam suasana dan budaya yang sangat berbeza dari tempat asal mereka. Namun mereka ini memahami apa yang perlu dilakukan melalui teladan ibu bapa.

“Tahap disiplin mereka juga baik malah jika ekspatriat dari Jepun atau Korea, memang sudah terkenal dengan tahap penjagaan kebersihan yang tinggi. Jadi, pematuhan anak mereka terhadap SOP seperti memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan penjarakan fizikal, tiada masalah,” jelasnya.

Daripada penerimaan kes untuk rawatan dan kaunseling pula, Dr Muhsin mengakui memang ada trend menaik bagi kes kemurungan dan kegelisahan dalam kalangan ekspatriat namun ia lebih banyak melibatkan golongan dewasa.

“Tapi ini sangat signifikan memandangkan emosi ibu bapa akan mempengaruhi emosi anak memandangkan mereka perlu berkurung seharian di rumah dengan segala keterbatasan,” jelasnya.

Apa yang menariknya, rata-rata mereka yang mendapatkan khidmat konsultasi merasakan selamat berada di Malaysia sejak sempadan antarabangsa negara ditutup Mac lepas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setakat ini, kita menerima ‘pesakit’ dari Jerman dan United Kingdom yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai kebimbangan dihadapi mereka.

“Sudah tentu, ahli keluarga mereka berada jauh di negara asal dan tidak dapat pulang dengan segera jika berlaku sesuatu seperti kematian kerana sempadan antarabangsa masih belum dibuka sepenuhnya dan ini menjadi antara kebimbangan utama mereka.

“Namun kebimbangan itu sedikit ‘terawat’ apabila mereka lebih yakin dan memilih untuk berada di negara ini berbanding negara lain sepanjang serangan pandemik ini. Apa yang dilakukan oleh kerajaan membuatkan tahap kerisauan mereka dapat dikawal dan masih mampu menjalani kehidupan dengan baik,” katanya.
 
Hilang struktur dan rutin

 
Berkongsi pendapat, Pakar Psikitri Hospital Tunku Azizah, Dr Joni Teoh Bing Fei turut mengakui kanak-kanak akan lebih mudah merasa bimbang dan risau mengenai COVID-19 terutama yang tidak mendapat kefahaman yang mencukupi atau betul mengenai wabak ini.

“Rasa tertekan ini diburukkan lagi apabila mereka tidak dibenarkan melakukan akiviti kegemaran di luar rumah,” katanya yang tidak menafikan terdapat perubahan ketara dalam interaksi kanak-kanak apabila sekolah dibuka selepas ditutup lebih tiga bulan.

Segelintir kanak-kanak mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cara pergaulan sosial yang baru ini tetapi kanak-kanak biasanya mempunyai ‘kesesuaian’ dan ‘ketahanan’ untuk menghadapi sesuatu yang baharu.

“Disebabkan itulah amat penting ibu bapa memberi penerangan yang betul mengenai langkah-langkah pencegahan seperti memakai pelitup separuh muka, membasuh tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman secara konsisten.

“Cara terbaik adalah menjadi contoh teladan dan ini menjadikan kanak-kanak lebih cenderung untuk mengikuti langkah-langkah itu,” jelasnya.

Bukan itu saja, pengasingan sosial pula akan menyebabkan kanak-kanak berasa bosan dan ada kemungkinan timbulnya kegelisahan serta sedih kerana tidak dapat meneruskan aktiviti seperti biasa.

Apabila kanak-kanak kehilangan struktur dan rutin harian terutama apabila tiada ‘jadual’ yang tertentu disediakan oleh keluarga di rumah sepanjang PKP akan menyebabkan kanak-kanak menjadi lebih mudah marah, kerap bergaduh dengan adik beradik yang lain, kata Dr Teoh.

Justeru adalah penting untuk meminta anak meneka emosi serta membincangkan pengalaman emosi dalam sesuatu watak yang ditonton atau dibaca serta menggalakkan mereka mengekspresikan perasaan mereka.

“Cara ini dapat membantu dan memberi keselesaan terutama ketika emosi mereka tidak stabil dan menjadi contoh kepada mereka dengan cara yang bijak apabila berhadapan dengan emosi yang negatif.

“Mereka juga akan mengalami perkembangan kognitif dan kemahiran sosial yang semakin cekap yang dapat mengelakkan situasi yang boleh mendatangkan emosi yang negatif atau mengekalkan emosi yang menyenangkan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -