Dasar pemutihan tidak betul – PAS Selangor

Foto Facebook Air Selangor

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Selangor mempersoal dasar kerajaan negeri terhadap program pemutihan bagi kilang haram yang dilihat tiada kesudahan sehingga mengakibatkan berlakunya pencemaran sungai.

Pesuruhjayanya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata program pemutihan kilang haram ini dilaksanakan sejak dari Julai 2006 hingga 31 Disember 2015, namun telah dilanjutkan sebanyak enam kali.

Advertisement

“Kini dikenali sebagai program Smart Kilang Tanpa Kebenaran 2.0. Hanya 630 kilang telah dilegalkan sehingga 2016.

“Walau bagaimanapun, masih ada 1000 lagi kilang yang masih berstatus ‘haram’ selepas tamat tempoh yang diberikan. Ini merujuk kepada kenyataan exco pada November 2018,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pada September 2019, kerajaan negeri sekali lagi menggumumkan tempoh lanjutan selama setahun kepada pemilik kilang haram untuk menjalankan operasi secara sah melalui proses pemutihan yang ditawarkan bermula 1 Oktober 2019 sehingga 30 September 2020.

“Kini apabila isu pencemaran air Sungai Selangor memuncak, dimaklumkan masih ada 308 kilang haram di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“(Bahkan) Kilang penyelenggaraan jentera yang dikaitkan dengan pencemaran juga beroperasi secara haram,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang mempersoalkan sampai bila kerajaan atau exco yang bertanggungjawab akan bertegas dengan program pemutihan ini.

Ini jelas katanya, operator kilang haram ini akan mengambil kesempatan di atas tempoh lanjutan yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut menyatakan sokongan terhadap titah Sultan Selangor yang menggesa kerajaan bertindak merobohkan kilang haram ini tanpa kompromi, di samping tiada campur tangan politik berlaku.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan telah mengutuskan sepucuk surat kepada Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung masalah air yang berlaku baru-baru ini.

Antara intipati surat itu, baginda menitahkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas bagi memastikan rumah dan kilang haram, terutama berhampiran tebing sungai dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan sungai di Selangor.

Selain, tiadanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu-isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai.

Sultan Sharafuddin juga mahu undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan dengan segera kepada pelaku yang menyebabkan pencemaran sungai.- HARAKAHDAILY 9/9/2020