DAP penyebab isu air Selangor dipolitikkan

- Advertisement -

SEMEMANGNYA isu terputusnya bekalan air Selangor dan Kuala Lumpur menarik perhatian semua pihak termasuk mereka yang berada di luar kawasan yang terjejas. Ia mendapat perhatian disebabkan punca terputusnya bekalan air adalah pencemaran Sungai Gong sehingga menyebabkan Loji-loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihentikan.

- Advertisement -

Sebaik sahaja mendapat berita pencemaran tersebut, pegawai-pegawai di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah bergegas ke lokasi pencemaran dengan disertai agensi-agensi peringkat Persekutuan dan Negeri. Ketika itu, fokus utama KASA dan agensi-agensi terbabit ialah menyelesaikan masalah pencemaran dan mengelakkan masalah tersebut berpanjangan sehingga menjadi krisis.

Meskipun Kerajaan Persekutuan dikuasai Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Negeri Selangor dikuasai Pakatan Harapan (PH), pegawai-pegawai dan agensi-agensi berkaitan bekerjasama erat untuk mencari penyelesaian segera. Tiada episod menuding jari menyalahkan pihak lain apatah lagi mengaitkan masalah ini dengan masalah air di negeri Kelantan yang tiada kait mengait.

Kalaupun ada saling menuding jari, hanyalah dari kalangan netizen atau tentera siber yang berkecenderungan menyokong mana-mana parti politik. Episod sebenar saling menuding jari ini bermula dari DAP melalui Ahli Parlimennya, Charles Santiago yang menuntut Menteri Alam Sekitar dan Air meletakkan jawatan seolah-olah mahu meletakkan beban kesalahan kepada KASA.

Sukar untuk ditelaah, apa sebenarnya motif Ahli Parlimen Klang yang mewakili DAP ini? Bagaimanapun DAP memang pihak yang dikenali selalu cuba menyelamatkan diri mereka dengan cara terlebih dahulu menuduh pihak-pihak lain. Lazimnya apabila mereka yang pertama membuat tuduhan, maka pandangan awam akan segera beralih ke pihak yang dituduh walaupun sebenarnya yang menuduh itu puncanya.

Dalam konteks isu pencemaran Sungai Gong ini, pihak yang paling berkaitan dengan kes ini ialah Exco Selangor yang menjaga Kerajaan Tempatan. Mengapa kilang ini terletak berhampiran sungai? Mengapa ia beroperasi secara haram? Semua pertanyaan ini perlu dijawab oleh Exco potfolio ini, iaitu dari DAP.

Lihat sahaja negeri Pulau Pinang yang diperintah DAP, pencemaran sungai adalah sangat teruk berbanding negeri-negeri lain. Antara sungai yang sangat teruk tercemar ialah Sungai Kreh di Kepala Batas, akibat dari kumbahan dan najis ladang khinzir. Sehingga hari ini ladang ini terus berkembang dan tiada tindakan diambil.

Demikianlah cara DAP untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada melihat sisi hitam mereka. Mereka akan terlebih dahulu melontarkan tuduhan kepada pihak lain, supaya rakyat dikaburi seolah-olah merekalah yang bersih. Demikianlah juga dalam kes pencemaran Sungai Gong ini.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air
9 September 2020 – HARAKAHDAILY 9/9/2020

- Advertisement -