Akta Rukun Negara wajar diwujudkan

PADA perbahasan Titah Diraja tempoh lalu, saya ada menyentuh aspek pemerkasaan perpaduan melalui pelaksanaan pelan tindakan perpaduan negara. Saya yakin langkah ini pasti dapat menjamin kestabilan dan keamanan negara jika dihayati dan diamalkan sepenuhnya.

Namun, saya ingin menzahirkan kebimbangan terhadap isu-isu yang dimainkan oleh sesetengah pihak dilihat cuba menyentuh sensitiviti perkauman seperti isu tulisan Jawi, penghinaan terhadap agama Islam malah hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Raja-raja Melayu juga tidak terkecuali.

Tidak mustahil, isu-isu tersebut boleh mengundang kembali peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Oleh itu, saya mencadangkan agar Akta Rukun Negara diwujudkan sebagai langkah untuk memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan negara. 

Advertisement

Hal ini juga bagi terus menjamin prinsip Rukun Negara untuk terus menjadi teras keharmonian dan perpaduan dalam negara sekali gus segala cabang perpecahan dapat dihapuskan.

Itulah matlamat Allah mencipta manusia berlainan bangsa dan keturunan, sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hujarat, ayat 13:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain.”

“Islam Memimpin Perpaduan” 

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 9/9/2020