Ziarah Merdeka Hari Malaysia PAS Kuantan

KUANTAN: PAS Kawasan Kuantan mengorak langkah mengadakan program Ziarah Merdeka sempena Hari Malaysia mensasarkan premis Taska, Tabika KEMAS, pusat asuhan, pra-tahfiz dan transit kanak-kanak dalam Parlimen ini.

Advertisement

Program kerjasama antara Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kuantan menerusi Lajnah Pendidikan ini telah bermula semalam hingga 10 September ini dan akan disambung semula pada 15 September nanti.

Rombongan dipimpin bersama Ketua Pemuda, Mohd Khairul Nizam Che Mustofai dan wakil Muslimat, Ustazah Rosmani Mustafa telah mengunjungi Tanah Putih, Kampung Kurnia, Kampung Belukar, Kampung Razali, Taman Guru dan Sungai Isap Perdana, di sini hari ini.

Matlamat program ini adalah untuk memasyarakatkan PAS agar terbina satu hubungan dan ikatan ukhuwah di antara satu sama lain, secara pendekatan santai dan mesra.

Rombongan turut membawa sumbangan berupa pelitup muka untuk para pelajar dan guru, risalah Merdeka, sabun pencuci tangan dan bendera Malaysia.

Program ini walaupun menjadi ‘kejutan’ kepada pihak dikunjungi, namun ada yang memberi reaksi untuk melanjutkan hubungan, malah menyatakan hasrat untuk turut serta pada siri lawatan seterusnya. – HARAKAHDAILY 8/9/2020