Sultan Selangor dukacita impak ditanggung rakyat

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan impak yang ditanggung rakyat negeri ini ekoran gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa kawasan sejak Khamis lepas.

- Advertisement -

Istana Selangor dalam kenyataan memberitahu, baginda menzahirkan sedemikian selepas dimaklumkan mengenai masalah bekalan air bersih yang terus berulang di negeri ini menerusi satu pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan di sini.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin mengutus surat kepada Amirudin supaya mengambil beberapa tindakan berhubung isu berkenaan kerana baginda khuatir sekiranya masalah air berterusan, rakyat akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan seterusnya menjejaskan keharmonian sosial.

Antara inti pati surat berkenaan adalah baginda mahu tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil bagi memastikan rumah serta kilang terutama kilang haram berhampiran tebing sungai mesti dirobohkan kerana berpotensi mencemari anak sungai dan sungai di Selangor.

Kenyataan itu memaklumkan, baginda telah lama menitahkan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan negeri untuk memantau dan memastikan sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah hingga boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji rawatan. 
 
Baginda mahu undang-undang lebih tegas dilaksanakan segera terhadap pencemar sungai dengan penalti lebih berat dikenakan termasuk ke atas pencemar alam sekitar khususnya sumber air dan mereka yang terbukti bersalah hendaklah dihukum penjara mandatori serta denda maksimum.

Tambah kenyataan itu, baginda juga tidak berkenan wujudnya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran sungai.

Sejak Khamis lepas, kira-kira 5 juta penduduk di tujuh wilayah di Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang.

Pencemaran bau itu disyaki berpunca daripada pelepasan bahan buangan dari sebuah kilang ke dalam sungai sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas. 

Pada Sabtu, empat beradik yang juga pemilik kilang berkenaan berumur lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam insiden pencemaran bau berkenaan.

Setakat tengah hari tadi, bekalan air di tiga wilayah iaitu di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya manakala 65 kawasan bagi wilayah Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur masih dalam proses pemulihan. – BERNAMA

- Advertisement -