Siasat dakwaan pelajar terlibat pemikiran ekstrem

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah sedang menyiasat beberapa pelajar sekolah menengah terutamanya beraliran agama di negeri ini yang dipercayai terlibat dengan pemikiran ekstrem, agak terpesong daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang meneliti perkembangannya.

“Saya ambil serius perkara ini kerana mula (dipercayai) menyerap masuk ke dalam sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kunjungan hormat Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

- Advertisement -

Najmi berkata, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan polis untuk membanteras ideologi melampau itu termasuk mempergiat risikan mengenal pasti cara fahaman itu disebarkan.

“Setakat ini terkawal, tetapi kita kena ambil tindakan awal. Saya akan lanjutkan perbincangan dengan pihak keselamatan,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan penularan fahaman Liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang didakwa berkembang agresif menerusi media sosial. – BERNAMA

- Advertisement -