Projek ECRL jimatkan kos perbelanjaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan pembinaan laluan East Coast Rail Link (ECRL) dan laluan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Serendah ke Pelabuhan Klang bakal memberikan penjimatan kos perbelanjaan projek sekali gus menjimatkan tempoh penyelarasan dan pembinaan bagi kedua-dua laluan ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, jajaran projek ECRL ini telah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Seksyen A, jajaran dari Kota Bharu-Dungun, Seksyen B jajaran dari Dungun-Mentakab dan Seksyen C jajaran dari Mentakab-Pelabuhan Klang.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika jawab lisan bagi pertanyaan Senator Dato’ Ismail Ibrahim bagi menyatakan mengenai perancangan kerajaan untuk menjajarkan semula laluan asal bahagian ECRL melalui Bentong, Gombak ke Pelabuhan Klang sejajar dengan jaringan bersepadu pengangkutan rel di Semenanjung Malaysia terutama Pantai Timur.

Menurutnya, pada masa ini jajaran Seksyen C Mentakab-Pelabuhan Klang sedang dikaji dan diperhalusi terutamanya laluan asal yang melalui Bentong, Gombak dan seterusnya ke Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun kata beliau, cadangan asal projek ECRL pada tahun 2018 iaitu sebelum penggantungan projek telah mengambil kira pembinaan sistem landasan bagi tolok meter (meter gauge) bagi KTMB dan tolok standard (standard gauge) bagi ECRL yang akan dibina dari Serendah ke Pelabuhan Klang.

Dalam pada itu katanya, stesen Serendah telah dikenal pasti sebagai stesen yang sesuai bagi pertukaran (interchange) penumpang dan juga barangan atau kargo di antara ECRL dan KTMB.

Melalui stesen ini, kedua-dua perkhidmatan ECRL dan KTMB akan dapat mengintegrasikan serta meningkatkan jaringan rel di antara negeri-negeri di Pantai Timur dan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Justeru itu katanya, pihak kerajaan akan berunding semula dengan pihak kerajaan China dan kontraktor utama projek bagi mendapatkan kepastian mengenai implikasi kos dan jadual pelaksanaan projek.

“Hasil rundingan ini akan dibentangkan kepada kerajaan bagi keputusan muktamad mengenai jajaran Seksyen C Mentakab-Pelabuhan Klang projek ECRL,” katanya di Dewan Negara hari ini. – HARAKAHDAILY 8/9/2020

- Advertisement -