Pencemar Sg. Gong beroperasi tanpa lesen sejak 2014

- Advertisement -

RAWANG: Kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air Sungai Gong di sini, didapati beroperasi tanpa lesen sejak 2014, kata Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohamad Zin Masoad. 

Beliau berkata data MPS juga menunjukkan kilang terbabit tidak pernah membuat sebarang permohonan lesen sejak beroperasi enam tahun lepas. 

“Semakan data MPS menunjukkan kilang ini tidak pernah membuat permohonan lesen. Terbaharu pada Mac lepas, kita telah mengeluarkan notis kepada mereka. 

- Advertisement -

“Namun, pihak kilang tidak mengendahkan notis yang dikeluarkan, selain tidak mempunyai lesen, mereka juga didapati mendirikan bangunan tanpa kebenaran MPS,” katanya selepas menampal notis di kilang itu semalam. 

Mohamad Zin berkata kilang penyelenggaraan jentera terbabit adalah antara 308 kilang yang dikesan beroperasi tanpa lesen di bawah kawasan penyeliaan MPS. 
 
Beliau berkata kesemua kilang berkenaan berada dalam senarai pemutihan diberi tempoh sehingga 31 Disember 2020 untuk mengemukakan dokumen pengoperasian agar permit operasi dapat dikeluarkan. 

“Mengikut arahan kerajaan negeri, proses pemutihan (diperkenal sejak 2012 dan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2020) kita tidak boleh mengambil tindakan meroboh. Mereka ada dalam senarai untuk kita bantu dapatkan kelulusan operasi dan lesen. 

“Oleh sebab itu, pada 2014 kita keluarkan notis pembinaan bangunan dan sepatutnya pengusaha kilang perlu datang ke MPS untuk menuntut atau meminta kelulusan lesen perniagaan dan bangunan. Oleh kerana tersenarai dalam proses pemutihan, kita beri peluang kepada mereka datang kepada kita,” katanya. 

Terdahulu, MPS menampal notis pada pintu masuk kilang berkenaan mengikut Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu membina bangunan tanpa kebenaran bertulis MPS. 

Mengikut akta itu, pihak kilang diberi tempoh tiga hari mulai semalam untuk mengemukakan dokumen kelulusan pembinaan premis atau berhadapan tindakan roboh oleh MPS. 

Kira-kira lima juta penduduk Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis ekoran pencemaran minyak yang dilepaskan daripada kilang terbabit sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas. – BERNAMA 

- Advertisement -