Malaysia ‘Tanah Melayu’ tetapi…

- Advertisement -

TERPAKU kaku saat mata membaca berita 19 rumah penduduk di Desa Subang Perantau berhampiran Sungai Pelempas, Daerah Petaling dirobohkan bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Pelempas yang sedang berjalan di kawasan tersebut.

Air mata tumpah mencurah-curah. Kata-kata pecah berkeping-keping sedang jasad turut sama bersatu merasai kepedihan dan kekecewaan yang ditanggung oleh saudara seagama sebangsa diperlakukan persis hamba di tanah sendiri.

“Kami sudah mohon geran tapi kerajaan negeri tak luluskan,” kata salah seorang penduduk di Desa Subang Perantau, Fatimah Bakar, 69, yang rumahnya dirobohkan dalam operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu. 

- Advertisement -

Menurut Fatimah, penduduk sudah beberapa kali membuat permohonan bagi mendapatkan geran di tanah tersebut, namun permintaan itu tidak dilayan oleh kerajaan negeri.

Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, punca kepada masalah ini ialah rekabentuk projek yang dibuat oleh sebuah syarikat perunding, tetapi tidak bersedia mengelak rumah-rumah penduduk sedangkan rekabentuk tersebut boleh diubah.

Jalan penyelesaian dapat dicapai jika semua pihak meletakkan diri mereka sebagai penduduk, bukan meletakkan diri mereka atas kuasa profesion sebagai pegawai, perunding, jurutera, politikus atau lain-lain perjawatan.

Kadang-kadang ada perkara yang kita bersama boleh berlawan fakta, ada perkara-perkara yang tidak perlu belajar dan tidak diajar pun di sekolah tetapi ia mampu menyelesaikan masalah; itulah budi bicara yang baik dan kualiti ‘A’ (al amin) Nabi Muhammad S.A.W yang mampu diserap ke dalam jiwa setiap pemerintah dan pihak pemimpin.

Sebelum ini sekitar tahun 2018 di Klian, Perak saluran tv Astro Awani telah membongkar kisah seorang wanita, Salmiah Abdullah, 37 tahun, waris penduduk Kampung Pahit yang merasa sangat sebak apabila kebun diusahakan arwah ayahnya, Abdullah Omar telah dimusnahkan dan ditebang oleh pihak tertentu tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau.

Menurut beliau, meskipun tanah itu tidak dimiliki secara mutlak, namun arwah bapanya, Abdullah Omar, merupakan antara peneroka awal di kawasan itu yang telah mengusahakannya sejak puluhan tahun.

Menurut sumber Pejabat Tanah Daerah Pengkalan Hulu, tanah yang dipersoalkan itu berstatus Tanah Kerajaan bagi tujuan laluan simpanan awam untuk menghubungkan Klian Intan ke Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok (RPB) Wilayah Sungai Kepayang, Kampung Pahit 2 dan pihak pejabat tanah telah lama memberi ruang dan peluang untuk mereka mengutip hasil daripada pokok-pokok yang ditanam atas tanah kerajaan.

Aduh! Kasihan melihat nasib bangsaku. ‘Hak istimewa’ sekadar tulisan bisu di atas kertas kaku!

Tahukah anda? Di sebuah negeri Makmur terletak di Daerah Raub, dalam diam-diam ‘tetamu’ masuk secara haram konon asalnya membuka kebun ‘kecil-kecil’ sejak tahun 1961. Kini selepas 40 tahun ‘bergelumang dosa’ maka lahirlah ‘durian luar nikah’ di atas tanah seluas 4.4 hektar, lebih kurang sama luas dengan ‘Kota Singa’.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Mengapa pihak berkuasa terlalu lama ‘redha’ mendiamkan diri sedang anak sendiri berteriak, menangis, mengemis dan meminta sebidang tanah ibunda ‘ditampar’ dan disepak ke sana ke mari tidak ada sesiapa yang ambil peduli jauh sekali dihakimi dengan pembelaan yang adil?

Pada 28 Ogos lalu, seramai 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri, berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.

Kini pekebun durian terbabit selamat untuk menjalankan kerja harian mereka di atas tanah yang diterokai selepas mendapat perintah pergantungan sementara tersebut.

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan, Kerajaan Pahang, Perbadanan Pertanian Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Kerajaan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Mewakili suara hati pekebun, Siew Choon Jern seorang peguam berkata, jika ditawarkan situasi ‘menang-menang’, dia percaya mereka (pekebun) sudi untuk berbincang demi mencapai sebuah keputusan yang adil. Dakwa semua pekebun haram ini, mereka pernah memohon kepada kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah secara sah, tetapi ditolak dengan alasan berada dalam kawasan hutan simpan.

Sudahilah episod ‘bising-bising’ meminta simpati seolah menampakkan kamu di pihak yang telah dizalimi. Kamu dan moyang kamu telah lama dan telah terlebih dahulu ‘merompak’ hak kami dan mengkhianati perjanjian atas kertas yang ditulis dan disimpan oleh nenek moyang kami buat anak cucu cicit peribumi asal Tanah Melayu.

Ya! Moyang kita sanggup berperang bermandi darah mendapatkan hak keluasan 50 peratus (bersamaan dengan 13,185,670 hektar) keluasan Semenanjung Tanah Melayu dan Tanah Rizab Melayu itu diwartakan kekal selamanya dan tidak boleh dipindah milik kepada orang bukan-Melayu.

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu, sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”. (Wasiat Raja-raja Melayu)

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 89 (6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “Dalam Perkara ini ‘tanah simpanan Melayu’ ertinya tanah yang disimpan untuk diberi hak milik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi Negeri tempat terletaknya tanah itu; dan ‘orang Melayu’ termasuklah mana-mana orang yang, di bawah undang-undang Negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang Melayu bagi maksud perizaban tanah.”

Di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah tercatat; hak untuk orang Melayu mendapat tanah dengan kebenaran oleh Kerajaan Negeri (kerana pembukaan tanah adalah di bawah kawal-selia Kerajaan Negeri). Kerajaan Negeri boleh membuka tanah khas untuk Melayu tanpa sebarang syarat.

Pada Konvensyen Kebangkitan Ummah yang berlangsung sekitar dua tahun yang lalu, seorang ahli jawatankuasa Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM), Zaharah Sulaiman telah mendedahkan bahawa baki Tanah Rizab Melayu di negara ini semakin susut dan ia berpunca antaranya kerana kerajaan membiarkan tanah ini dijual kepada bangsa asing untuk pembangunan dan Kerajaan juga tidak memulangkan (atau menggantikan) semula tanah ini sehingga kini Tanah Melayu sedang diancam ‘kepupusan’.

“Kita nak mohon Tanah Rizab Melayu pada kerajaan sudah tiada lagi dah. Bila mohon dipulang atau diganti semula Tanah Rizab Melayu ini, jawapan kerajaan: “Orang Melayu sendiri yang banyak jual Tanah Rizab Melayu,”

Menurut beliau orang Melayu perseorangan yang menjual tanah hanya segelintir sahaja kerana faktor kesempitan wang tetapi dosa terbesar adalah terletak di tangan kerajaan sendiri yang paling banyak menjual rizab Melayu untuk tujuan pembangunan dan komersil. 

Rintih beliau lagi, 60 peratus ekuiti tanah kita kini bukan lagi menjadi milik kita sedangkan di dalam Perlembagaan telah termaktub 50 peratus tanah Semenanjung tidak boleh diusik dan sepatutnya ia menjadi milik kekal orang Melayu.

Kini di Kuala Lumpur baki Tanah Rizab Melayu hanya sebanyak satu peratus, di Pulau Pinang tiada Tanah Rizab Melayu kerana telah diwartakan sebagai tanah jajahan British adapun Tanah Melayu hanya berbaki satu peratus.

Di Kelantan dan Terengganu, Tanah Rizab Melayu tidak diusik dan jika diusik sekalipun Kerajaan Negeri telah berjaya memulangkan kembali semua tanah berstatus Rizab Melayu.

Mana tanah kita? Mengapa kita tidak mahu belajar dari sejarah? Mengapa kita perlu bersusah payah mencurah air ke laut?

Tanah kita, segalanya masih ‘selamat’ tercatat rapi di dalam watikah sejarah sedang hakikat kebenarannya sungguh sulit dan sangat pedih untuk diterima; kita sebenarnya semakin kehilangan ‘Tanah Segara Masin’ ini.

Kita mungkin terlalu baik meraikan kedatangan tetamu di halaman, memberi sudu untuk menghirup kuah; sedang saudara sendiri di dalam rumah meraba-raba mencicip sisa di dalam bekas berisi hampas!

Wahai orang-orang Melayu!

Seringkali kita mendengar pelbagai tuntutan dibuat oleh kaum-kaum minoriti terhadap kerajaan. Seringkali juga kita melihat kerajaan kita menunaikan segala permintaan yang dibuat oleh kaum minoriti berkenaan atas alasan kompromi politik.

Seringkali juga kita melihat satu demi satu hak agama, hak bangsa dan hak tanah air kita terpaksa dikorbankan sedikit demi sedikit oleh kerajaan semata-mata bagi memenuhi tuntutan kaum minoriti kerana sumber yang semakin terhad itulah yang terpaksa kita kongsi dengan kaum lain.

Istilahnya ‘berkongsi’ namun hakikatnya kita memberi lagi dan lagi hak kita kepada mereka sehingga akhirnya apa yang tinggal tak cukup untuk anak cucu kita sendiri.

Realitinya, mereka tidak pernah memberi apa-apa kepada kita, sedang mereka meminta lagi dan lagi dan pemimpin kita memberi dan terus memberi.

Menunaikan hak kepada yang berhak serta menghukum secara adil adalah kewajipan pemerintah. Allah S.W.T telah menegaskan di dalam surah an-Nisa’ ayat 58:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًا

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Wallahua’lam

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 8/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -